Menghadirkan Rindu Pada Insan Agung

Category: ,

SELAWAT DAN MENGAMALKAN SUNNAH TANDA KECINTAAN KEPADA RASULULLAH

Saban tahun umat Islam menyambut kedatangan Maulidurrasul dengan pelbagai program.
Di peringkat apa sekali pun, mereka membuat sambutan Maulidurrasul dengan pelbagai ragam. Yang paling ketara ialah berselawat mengelilingi kampung, sekolah mahupun stadium dan sebagainya. Memerhatikan gelagat-gelagat mereka ini membuatkan saya tersenyum. Saya sendiri sering terlibat sama ada sebagai tetamu undangan mahupun penceramah menyatakan betapa besar pengertiannya mengingati akan Rasulullah.

Persolannya, adakah cukup dengan program setahun sekali tersebut, atau cukupkah dengan memanggil penceramah dan berselawat keliling kampung, sekolah mahupun stadium bagi peringkat negeri atau kebangsaan.


Jangan terpedaya atau menipu diri kita sendiri ketika kita menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai program yang kita laksanakan. Apa yang paling penting sekali adalah memberi kefahaman tentang rahsia kebangkitan Rasulullah di Kota Mekah dan rahsia Rasulullah dibangkit dalam bangsa Arab, rahsia Rasulullah dibangkitkan ditengah-tengah peradaban yang kondisinya amat parah. Rahsia 13 tahun Rasulullah berdakwah di kota Mekah dan rahsia kita berselawat keatas Rasulullah. Justeru apakah rahsia kita mengikuti sunnah Rasulullah???

Penekanan-penekanan terhadap perkara di atas sudah tidak diterapkan kepada masyarakat, institusi pendidikan, institusi kekeluargaan dan pelbagai institusi lain yang akhirnya kita mengaku sebagai ahlus sunnah wal jamaah, tetapi kita sebenarnya menyimpang dari jalan tersebut kerana tidak mengetahui rahsia atau didikan Allah Subhaanahu Wata'ala dalam perjalanan hidup junjungan besar kita Rasulullah Sollalahu A'laihi Wasallam. Tidak keterlaluan jika saya katakan, dalam kita menyambut Maulidurrasul, berlaku juga penghinaan kepada Rasulullah.

KECINTAAN DAN KERINDUAN RASULULLAH TERHADAP UMATNYA

Suatu malam, ketika Saidatina Ai'syah Radhiallahu A'nha terjaga dari tidur, didapatinya Rasulullah tiada ditempat tidur baginda. Kerana risau, dia keluar mencari di rumah Siti Fatimah Radhiallahu A'nha. Ternyata Rasulullah tidak berada disana, lalu mereka bersama Saidina Ali Karramallahu Wajhah, Hassan dan Hussin Radhiallahu A'nhuma keluar mencari Rasulullah di sekitar kota Madinah. Puas mereka mencari tetapi tidak juga mereka temui, lalu mereka pergi ke Baqi' (tempat perkuburan), dan disitu mereka terlihat suatu cahaya yang terpancar dari tanah kuburan tersebut. Mengetahuilah akan mereka bahawa cahaya itu adalah datangnya dari Rasulullah.

Ketika menghampiri Rasulullah, ternyata Baginda sedang sujud ditanah perkuburan tersebut dalam keadaan menangis. Dan dalam sujud Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam itu, Baginda bermunajat kepada Allah Ta'ala: "إن تعذبهم فإنهم عبادك وإن تغفرلهم فإنك أنت العزيز الحكيم"
Maksudnya : Kalau sekiranya Kamu menyeksa akan mereka, maka mereka sesungguhnya adalah hambaMu, dan sekiranya Kamu mengampunkan akan mereka, maka sesungguhnya Kamu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Inilah suatu rintihan hati seorang manusia Agung yang sentiasa menginginkan keselamatan bagi umatnya. Ternyata Rasulullah sujud dalam keadaan menangis kerana mengenangkan umatnya yang sedang berhadapan dengan pertanyaan dan penyeksaan dari malaikat Munkar dan Nakir.

Besarnya kecintaan Rasulullah kepada umatnya. Dan kata Rasulullah kepada Siti Ai'syah Radhiallahu A'nha: "Bantulah aku dengan bersujud (فاسجدوا) dan berdoa (وادعوا) dan merendahkan diri (وتضرعوا). Lalu sujudlah sekalian dari keluarga Rasulullah itu sehingga fajar terbit.

Diceritakan ketika Rasulullah sedang nazak. Lalu datanglah Malaikat Maut untuk mencabut roh Baginda. Setelah meminta izin dan dibenarkan masuk menemui Rasulullah, lalu Baginda bertanya kepada Malaikat Maut: "Dimanakah kamu tinggalkan Malaikat Jibril?". Malaikat Maut menjawab: "Aku tinggalkan Jibril di langit dunia". Lantas Rasulullah meminta Malaikat Maut memanggil Malaikat Jibril untuk bertemu dengan Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam. Ketika Malaikat Jibril berhadapan dengan Rasulullah, lalu Rasulullah berkata: "Terangkan bagaimanakah haq aku dihadapan Allah Ta'ala". Jawab Jibril: "Seluruh pintu syurga dan pintu langit telah dibuka dan malaikat berbaris menunggu untuk mengiringi rohmu Ya Rasulallah". Ternyata Rasulullah tidak menunjukkan riak wajah yang gembira. Lalu Rasulullah berkata lagi: "Terangkan bagaimanakah haq umatku dihadapan Allah kelak". Jawab Jibril: "Firman Allah Taa'la kepada Malaikat Jibril A'laihissalam, syurga telah diharamkan dari dimasuki lain-lain umat melainkan sekalian umatmu telah memasukinya". Mendengar yang demikian itu membuatkan Nabi tersenyum dalam keadaan kesakitan disaat-saat akhir hayat Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam.

Begitu hebatnya kecintaan Rasullah kepada umatnya yang tidak mampu digambarkan dalam kotak pemikiran saya, melainkan titisan air mata tanda merindui dan mengasihi Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam. Titisan air mata ini hasil dari istiqamah dalam berselawat dan mengikuti sunnah Rasulullah sekadar termampu telah menggoncangkan hati anak-anak muridku sehingga mereka turut menitiskan air mata. Betapa ketika itu hadirnya perasaan rindu yang mendalam kerana suatu ketika Rasullah pernah menitiskan air mata dihadapan para Sahabat. Lalu seorang sahabat bertanya: "Kenapa kamu menangis yaa Rasulullah?". Jawab rasulullah: "Aku menangis kerana merindui saudara-saudaraku." Sahabat bertanya lagi: "Bukankah kami ini saudaramu Ya Rasulullah?". Jawab Rasulullah: "Bukan, kamu adalah sahabatku, saudara-saudaraku adalah mereka yg beriman kepadaku dan menuruti sunnahku dalam keadaan mereka tidak melihat (bertemu) denganku".
...اللهم صل على محمد...
Ya Allah...izinkan kami bertemu dengan Rasulullah dalam mimpi kami....

Ketika Rasulullah dalam keadaan menghadapi sakaratul maut yang diumpamakan kesakitan seperti seribu tikaman pedang, Rasulullah memohon kepada Allah Ta'ala agar semua kesakitan yang ditimpakan keatas umatnya ditimpa keatas diri Baginda. Ketika roh Baginda diakhir-akhir pemisahan dari jasad, Baginda menyebut: "أمتي...أمتي...أمتي" (Umatku sebanyak tiga kali).

Bangunlah wahai kamu sekalian yang mengaku umat Nabi Muhammad!!! Tanyalah diri kamu, sejauh mana kamu mengenali Rasulullah yang kamu agung-agungkan? Sejauh mana kamu mengingati dan merindui Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam? Sejauh mana kamu menyusuri perjalanan hidup Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam? Jangan tunggu kamu ditanya oleh Malaikat Munkar dan Nakir soalan: "من نبيك؟" (Siapakah nabi kamu?). Di alam dunia, semua orang boleh menjawab. Ketahui wahai saudara-saudaraku, jawapan terhadap pertanyaan tersebut adalah mengikut amalan hidup kita diatas muka dunia. Kalau diatas muka dunia kita tidak kenal akan Rasulullah, tidak mengikut memuliakan Rasulullah, tidak mengikuti tuntunan perjalanan hidup Rasulullah dalam erti kata jauuuuhhh dari tuntunan agama yang dibawa oleh Rasulullah, jangan harap kita mampu menjawab: "محمد صلى الله عليه وسلم".

Wallahu A'lam.

3 Golongan Manusia

Category:

Sesungguhnya ada 3 golongan manusia yang akan kembali menemui Allah dengan membawa amalan masing-masing.

Golongan Pertama :
Golongan yang hanya membawa amalan fardhu.

Mereka hanya melaksanakan amalan fardhu dan dalam masa yang sama meringan-ringankan amalan sunat. Mereka ini adalah golongan yang sombong kerana merasakan sudah cukup dengan amalan fardhu untuk digantikan dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan pada mereka. Meringan atau memperlekeh amalan sunat. Saya hendak tanya pada golongan ini!!! Amalan-amalan sunat itu datang dari siapa? Kalau kamu mengaku ianya dari Allah dan Rasul, bagaimana mungkin kamu tergamak meringan-ringankan kerana kamu mengaku kamu dari kalangan orang yang beriman. Tok Guru saya pernah menyebut :

  • 1. Amalan sunat ini adalah bertujuan untuk menampung serba sedikit cacat cela dalam amalan2 fardhu kita. Contoh dalam amalan solat. Imam al-Ghazali menyebut: Tatkala hamba Allah mengangkat takbir untuk memulakan solat, syaitan melepaskan seribu anak panah (gangguan atau bisikan) untuk membuatkan hamba Allah itu lalai dalam solatnya. Pernah suatu ketika Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam memberi tawaran kepada sesiapa yang khusyuk dalam solat akan dihadiahkan sehelai baju (jubah). Tawaran tersebut sebelum Nabi dan para sahabat memulai solat. Tiba-tiba dalam solat tersebut terlintas dihati Saidina Ali, "Alangkah baiknya jika Nabi memberikan 2 helai baju". Itu Saidina Ali, bayangkanlah jika ianya kita. Namun peristiwa ini bukanlah Saidina Ali sentiasa lalai dalam solat. Imam Bukhari ketika sedang solat, tiba-tiba beliau digigit 2 ekor lebah, selepas solat, beliau meminta sahabat beliau untuk melihat apa yang membuatkan belakang badan beliau sakit. Sahabat melihat kesan gigitan tersebut telah membengkak. Solat kita? Bunyi nyamuk sudah cukup membuatkan kita amat terganggu, inikan kalau kena sengat. Bahkan ada dari kalangan sahabat Nabi yang minta dicabut anak panah yang menusuk tubuhnya ketika mana dalam solat, kerana khusyuk membuatkan dia tidak merasa kesakitan. Peristiwa-peristiwa diatas sudah cukup menghadirkan dalam hati kita betapa lalainya solat kita. Justeru bagaimana kita boleh menjadi sombong pada amalan-amalan sunat dari Allah dan Rasul.
  • 2. Amalan sunat adalah untuk menghampirkan lagi diri kita pada Allah Taa'la. Membasahkan lidah dengan alunan zikrullah, bangun dikeheningan pagi untuk bermunajat pada Allah adalah amalan-amalan yang menghampirkan diri pada Allah. Sedekah, mengamalkan sunnah Nabi dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa kemanisan dalam amal ibadat hanya benar-benar menemui hakikatnya apabila kita merasa tidak puas melakukannya justeru sentiasa rindu serta berhajat untuk melakukannya. Kemanisan pada solat fardhu hanya tercapai apabila kita merasa ringan dalam melaksanakan solat-solat sunat. Ini merupakan suatu kesinambungan yang terikat.
  • 3. Amalan sunat tanda kasih seorang hamba pada Tuhannya. Iaitu lidahnya lidah Allah, telinganya telinga Allah, matanya mata Allah. Begitulah anggota-anggota yang lain. Kenapa ulama tasawuf mengatakan mereka ini dari golongan yang sombong. Diumpamakan: Giant Hypermarket membuat promosi atau sale. Beli satu jug air percuma 4 biji gelas. Tiba-tiba kamu membeli jug tersebut, maka cashier memberikan kamu 4 biji gelas, lalu kamu menolak untuk mengambil. Jika sayalah cashier tersebut, pasti saya akan menyebut dalam hati: "sombong nate niii".. Begitulah hal keadaannya ketika Allah memberi pelbagai tawaran ganjaran hasil dari amalan-amalan sunat. Kamu melaksanakan amalan-amalan sunat tersebut dengan menggunakan modal anggota badan hasil dari ciptaan Allah dan keuntungannya (ganjaran atau fadhilat) juga datang dari Allah. Tiba-tiba kamu meringankan bahkan memperlekehkannya. Mereka ini hanya akan mengalami kerugian yang teramat sangat di akhirat kelak.

Ingat! Kerugian di hadapan Allah bukan seperti mana kamu rugi didalam perniagaan di atas muka dunia. Golongan yang rugi ini akan menyesal yang tiada kesudahan sehingga merintih dan merayu seperti mana yang Allah rakamkan dalam ayat dari Surah as-Sajadah:

"ربنا أبصرنا وسمعنا فرجعنا نعمل صالحا إنا موقنون"

"Wahai Tuhan kami, kami telah melihat, dan kami telah mendengar (ya'ni peringatan-peringatan dari Allah dan Rasul ketika diatas muka dunia dulu), maka kembalikanlah kami (ya'ni ke atas muka dunia), nescaya kami akan melaksanakan amal-amal soleh. Sesungguhnya kami telah yaqin."

Golongan Kedua :
Golongan yang kembali membawa amalan-amalan sunat semata-mata, dalam masa yang sama meninggalkan amalan fardhu. Mereka adalah golongan yang "bodoh".

Perhatikan: 6 azab didunia bagi orang yang meninggalkan solat.

  • 1. Diangkat keberkatan pada umurnya.
  • 2. Diangkat keberkatan pagi rezekinya.
  • 3. Doanya tidak diangkat kelangit oleh para malaikat.
  • 4. Dihapuskan tanda orang soleh pada wajahnya.
  • 5. Tidak terpelihara Islam yang ada padanya.
  • 6. Segala amal kebajikan yang dilaksanakannya tidak diberikan pahala (ya'ni tidak diterima).

Sembahyang fardhu tak buat, tapi bangun tahajjud dan baca al-Quran. Lepas tahajjud, tidur balik. Subuh tidak solat. Sungguhlah.. Saya melihat ramai manusia terpedaya. Kelam kabut beli minyak attar jenama Malaikat Subuh... tapi tidak bangun solat Subuh. Sebab itu saya nak beri cadangan kepada penjual-penjual minyak wangi attar. Letak jenama Malaikat Maut. Tulis pulak, "Barangsiapa memakai wangian malaikat maut, nescaya dia memanggil malaikat maut untuk menghampirinya dan dekat jua dia dengan kematiannya". Saya yaqin, tidak ada yang berani beli. Atau dalam bab promosi, beli jug satu percuma 4 cawan. Kita pergi ke supermarket tersebut dan beritahu cashier : "Saya tak nak jug, tapi saya nak cawan yang percuma, kalau saya nak jug, saya kena bayar. Sekarang ni, saya nak cawan yang percuma tu saja." Sudah tentu cashier kata: "bodo orang ni, dok reti langsung". Maka, begitulah agama. Jangan sekali-kali lari dari kaedah. Jaga yang Fardhu dan dalam masa yang sama jangan meringankan yang sunat dan peliharalah amalan-amalan itu dengan akhlaq tasawuf.


Golongan Ketiga :
Golongan yang membawa amalan fardhu dan sunat (ya'ni mereka memelihara amalan-amalan fardhu dan dalam masa yang sama tidak meringan-ringankan amalan-amalan sunat hatta sekecil mana ia pun).

Inilah golongan yang beruntung, yang melihat semua amal kebajikan tersebut datangnya dari Allah dan Rasul. Kerana mereka melihat setiap amalan tersebut sama ada kecil atau sunat, sudah semestinya disana ada didikan dan rahsia yang kita ketahui dan yang tidak kita ketahui, mereka ini adalah golongan yang tenggelam dalam ilmu Allah semata-mata (ya'ni yang memandang segala amalan yang datang dari Allah dan Rasul dengan mata hati).
Disaat inilah akan hadirnya kelazatan dalam setiap amalan hasil dari pembukaan hijab (ya'ni dinding daripada kita mengetahui rahsia-rahsia dalam amalan yang kita laksanakan). Setiap kali saya berdiri dalam saf dan menghadap qiblat ketika hendak memulai solat, hati saya berbisik, merayu, berharap dan merintih memohon dari Allah Ta'ala agar memberi tuntunan ke jalan yang benar, lurus lagi yang diredhaiNya sepertimana Allah mewajibkan saya menghadap qiblat ketika dalam solat. Permulaan solat, kita menghadap qiblat. Begitu juga kita bermohon agar permulaan hari, minggu, bulan dan tahun kita sentiasa lurus sepertimana kita solat selagi roh kita tidak berpisah dengan jasad kita.

Sebab itu ketika mendengar azan subuh, kita diajar agar memuji Allah dengan ucapan:
"Ya Allah, itu suara seruan pendakwah-pendakwahMu, petanda malam akan berlabuh dan petanda matahari akan menjelma. Oleh kerana matahari akan memancarkan cahayanya untuk menyinari bumi, maka begitu jugalah hambamu yang hina lagi dhoif ini memohon Engkau menerangi hatiku dengan cahayaMu seperti mana Engkau memberi cahaya kepada matahari untuk menyinari bumi." Biarlah kita melafazkan ucapan diatas demgan penuh merendah diri seperti mana ketika kita melafazkan "سبحان ربي الأعلى وبحمده" ketika sujud dalam solat kerana sifat perendahan diri secara mutlak kepada Allah Ta'ala adalah didikan dan rahsia ketika kita sujud dalam solat. Begitu juga ketika kita berdoa dalam situasi apa sekalipun, lebih-lebih lagi ketika selesai solat. Ramai dari kalangan umat Islam yang berdoa dalam kelalaian (ya'ni tidak memusatkan hatinya dengan sepenuhnya pada Allah), mohon pada Allahu Rabbul A'alamiin dalam penuh kelalaian ya'ni tiada ar-roja' (pengharapan) berbanding memohon bantuan dari orang-orang besar seperti YB, Menteri-menteri, Sultan-sultan dan sebagainya. Bukan main beradab dan merendah diri ketika memohon subsidi, sokongan tender, sokongan kerja dan sebagainya dari orang-orang besar, tetapi tidak beradab (meletakkan kedua-dua tangan di paha ketika berdoa kepada Allah) dan sombong (iaitu mohon daripada Allah tetapi hatinya berpaling dari Allah disaat itu).

Renungkanlah sedalam-dalamnya! "Dimanakah letaknya haqiqat nilai kehambaan kita disisi Allah Taa'la?".
Ketika Allah menyoal kita di alam roh: "ألست بربكم؟" "Adakah kamu mengaku Aku Tuhan kamu?". "قالوا : بلى شهدنا". Mereka berkata (menjawab) "Bahkan, kami bersaksi (bahawa Kamu Tuhan bagi kami)". Hari ini manusia berpaling dan melakukan pelbagai kerosakan di atas muka bumi, kerana lupa kepada perjanjian pertama mereka dengan Allah Ta'ala ketika dialam roh lagi. Lupa dalam arti kata tidak mengenal Allah Ta'ala ketika di alam dunia walaupun haqiqatnya mereka telah mengenal Allah ketika di alam roh lagi.

Sebab itu proses dakwah Islamiyyah Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam yang pertama adalah untuk mengenal Allah Ta'ala ya'ni mentauhidkan Allah Taa'la. "أول الدين معرفة الله", "Awal-awal bagi ugama itu ialah mengenal Allah Ta'ala". Tanya umat Islam hari ini soalan-soalan mudah seperti: "Apakah sifat yang harus bagi Allah? Bagaimanakah cara kita hendak mengenal Allah Ta'ala? "Saya pernah mengikuti kursus kahwin beberapa tahun yang lepas, penceramah menanyakan soalan kedua diatas, kebanyakan jawapan dari bakal-bakal suami dan isteri ini tidak tahu dan lupa. Inilah bakal-bakal suami isteri yang akan menjadi pembimbing dalam institusi kekeluargaan Islam alaf moden, mudah-mudahan Allah mencampakkan nur kedalam hati mereka. Amiinnn Ya Rabbal A'laamiinnnn....


Renung-renungkanlah...

*InsyaAllah akan saya kupaskan bab mencari, menyentuh dan seterusnya memaut rahsia-rahsia mentauhidkan Allah Ta'ala ini pada siri yang akan datang
.

Selesai 3 golongan yang beramal dalam keadaan kembali menemui Tuhannya. 3 golongan ini akan saya kupaskan lagi menurut Kitab al-Hikam pada siri yang akan datang. InsyaAllah.



Salam ukhuwah fillah dari ana,
muhd_ally @ Muhammad Rashidi Abdullah

Bersyukur Dengan Nikmat Allah

Category:



Umum mengetahui betapa pentingnya seseorang hamba Allah itu mengucapkan kesyukuran diatas nikmat yang Allah kurniakan. Allah Ta'ala bukan sahaja mencukupkan bahkan menyempurnakan nikmatNya bagi sekalian makhluqNya. Namun, sedarkah kita apa pengertian sebenarnya disebalik ucapan kalimah Alhamdulillah yang sering kita lafazkan, bahkan terkandung di dalam Surah al-Fatihah yang mana menjadi rukun dalam solat kita. Maka amat besarlah pengertian kalimah tersebut apabila ia menjadi ayat yang sering kita baca dalam solat, kerana 4 perkara yang membuatkan Iblis la'natullah menangis sambil meraung (setengah riwayat mengatakan mengoyak-ngoyak mukanya):

  • 1.Ketika Iblis dila'nat kerana enggan sujud pada Nabi Adam A'laihissalam seperti mana malaikat.
  • 2.Ketika Iblis diusir keluar dari syurga.
  • 3.Ketika lahirnya Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam.
  • 4.Ketika turunnya Surah al-Fatihah.
Sesuatu yang saya pelik bila saya memeluk Islam, orang Melayu Islam suka menyebut kalimah nasib baik atau pun mujur. Ini termasuklah dari kalangan ustaz-ustaz sendiri. Sedangkan menyebut nasib baik atau mujur, tidak mendapat pahala pun. Saya pernah memandu kereta selama hampir 5 tahun tanpa lesen, setiap kali ada roadblock, saya membaca Bismillah. Ketika saya menekan pedal minyak dan polis pasti menyuruh saya meneruskan perjalanan tanpa diperiksa. Selepas saja saya diarahkan meneruskan perjalanan, pasti saya akan mengucapkan Alhamdulillah, dimana rasionalnya saya melafazkan nasib baik atau mujur. Polis tak tahan aku tadi.

Begitu juga tatkala kita bangun dari tidur, celik sahaja mata, kalimah Alhamdulillah sudah semestinya hadir pada hati kita kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan orang yang kita sayangi, masih memberi peluang untuk kita menambah amalan, bertaubat, menambah ilmu dan lain-lain kebaikan yang akan menjadi bekalan kita diakhirat kelak. Ketahuilah kiranya yaa...saudara-saudaraku, bermula orang yang sombong (lupa) kepada Tuhannya adalah orang yang apabila dilepaskan dari musibah dan dikurniakan akan nikmat, tiba-tiba dia lupa memuji Allah. Ketika makhluq memberikan kita kurniaan pun kita sudah berterima kasih yang teramat sangat, padahal makhluq (manusia dan selain dari Allah) hanyalah asbab untuk kita memperolehi nikmat tersebut kerana Allah jualah yang menggerakkan segala ketentuan kejadian tersebut. Bagaimana kamu sanggup berlaku sombong dihadapan Tuhanmu.

Adapun Alhamdulillah itu mengandungi 4 pujian:

1.Pujian Allah bagi Allah sendiri.
Allah banyak memujii diriNya sendiri dalam al-Quran seperti mana ayat pertama dalam surah al-Ana'm: "Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi". Ayat ini menunjukkan sifat uluhiyyah bagi Allah adalah Dia Yang Maha Pencipta. Langit dan bumi bahkan beserta segala isinya diciptakan Allah Ta'ala untuk manusia memikirkan tentang kejadian tersebut supaya terbuka mata hati. Perhatikan:

"وهو الله في السماوات وفي الأرض يعلم سركم وجهركم ويعلم ما تكسبون"

Dan bagi Allahlah sekalian apa yang ada di langit dan di bumi), Dia mengetahui apa-apa yang rahsia dan apa-apa yang nyata (ya'ni zahir), dan Dia Maha Mengetahui apa yang kamu perbuat (usahakan).

Ayat diatas menunjukkan Allah menciptakan langit dan bumi, justeru Dialah yang berkuasa di dalamnya. Semua ciptaan Allah bergerak mengikut qadar ketentuan, ataupun peraturan dari Allah. Bumi berputar tanpa henti, bergantinya malam dan siang, udara tidak pernah terhenti walau untuk sesaat pun, begitu juga pasang dan surut bagi lautan, sungai, kejadian awan yang menurunkan hujan, sempadan antara air tawar dan air masin yang tidak bercampur. Semua ciptaan Allah ini hidup mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Saya yakin semua pembaca tidak akan menafikan fakta ini dengan kerana keyakinan tersebut, bagaimana kamu seorang manusia, kamu satu kaum, kamu satu jemaah, kamu satu parti, kamu satu negara boleh cuba-cuba nak lari dari peraturan atau hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah Azzawajalla.

2.Pujian Allah bagi makhluq.
Allah memuji Nabi Muhammad dalam Surah al-Qalam:4: "وإنك لعلى خلق عظيم". Begitu juga Allah memuji orang-orang yang berjuang menegakkan agamaNya. Boleh rujuk dalam al-Quran ayat-ayat yang memuji segolongan daripada pendeta Nasrani dan lain-lain.

3.Pujian makhluq bagi Allah.
Imam as-Suyuthi menyebut bahawasanya, menyebut kalimah Alhamdulillah sekali adalah lebih baik dari setengah ahli tariqat yang memuji Allah 24,000 kali sehari semalam dalam keadaan kamu menyebut sekali, kamu sedar bahawa "وما بكم من نعمة فمن الله" Dan segala nikmat yang ada pada kamu adalah datangnya daripada Allah. Ketika kita dilepaskan daripada musibah, ingatlah akan Allah kerana Nabi menyebut: "ما أصاب من مصيبة بإذن الله", barang yang belaku dari musibah, adalah dengan izin Allah. Maka yang melepaskannya juga sudah tentulah Allah Ta'ala jua. Musibah adalah untuk menguji akan hambaNya. 3 perkara yang ada pada musibah.

  • a) Mengkafarah ya'ni menghapuskan akan dosa (dosa kecil sahaja).
  • b) Diberi pahala jika ianya sabar dalam menghadapi musibah tersebut.
  • c) Diangkat akan darjat seseorang (khilaf ulama').
Apapun, bagi kita musibah yang terjadi pada kita kerana Allah mengasihi akan kita. Ada orang yang sentiasa dalam keadaan sihat, tidak pernah sakit tetapi lama-kelamaan dia lupa pada Allah. Maka Allah memberikan dia penyakit agar dia ingat kembali pada Allah. Kerana fitrah manusia, apabila dia dihimpit kesakitan, kepayahan dan kedukaan maka ketika itulah ia akan ingat pada Allah ya'ni muhasabah diri. Seorang ahli tasawuf ketika terjatuh dari beberapa anak tangga, setiap anak tangga dia mengucapkan Alhamdulillah (kerana dia tahu hakikat musibah) dan ketika habis anak tangga dia jatuh, lantas dia menangis. Mengeluh kerana ditimpa musibah beerti kamu mengeluh pada ketentuan kejadian Allah, ia menuju kepada kamu mengeluh pada Allah ya'ni tidak redha pada Allah. Apatah lagi jika kamu memaki atau menyumpah musibah.

4.Pujian makhluq bagi makhluq (saya fokuskan pada sesama manusia).
Disinilah banyak terjadinya orang membelakangkan Allah Taa'la.
Contoh : Saya memuji Siti Nurhaliza kerana kemerduan suaranya menyanyi dan keayuan wajahnya. Didalam hati tidak terlintas kelebihan yang ada pada suara dan rupa parasnya adalah dari Allah Taa'la. Begitu juga saya memuji kecerdikkan seorang teman, sedangkan kecerdikkan, ilmu ilham adalah dari Allah Ta'ala dan merupakan hak mutlak Allah. Semua kelebihan yang ada pada kita manusia hanyalah berupa pinjaman yang mana dijadikan ujian untuk apa kamu gunakan. Kemerduan suara kurniaan Allah kamu gunakan untuk menyanyi lagu yang melalaikan manusia dari ingat kepada Allah bahkan mmbuatkan manusia asyik dibuai kemanisan dalam berkasih sayang, kamu kufur pada nikmat Allah.

  • 1. Nikmat atau kelebihan yang kamu gunakan untuk a'bdikan diri pada Allah dipanggil SYUKUR.
  • 2. Nikmat yang kamu gunakan untuk nafsu kamu semata-mata dipanggil KUFUR

KUFUR pada nikmat Allah beerti kamu KUFUR pada ALLAH!
"وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها" - jika kamu hitung ni'mat Allah (ya'ni yang dikurniakan pada kamu) sekali-kali kamu tidak mampu menghitungnya.

Mohon kemaafan kerana telah lama tidak menulis.

S
ekian dari hamba nan dhaif.
Mudah-mudahan kita semuanya dirahmati Allah Taa'la.

"اللهم اجعلنا من القليل".
Ya Allah, jadikanlah kami dari golongan yang sedikit.
Kerana Allah Ta'ala menyebut:
"وقليل من عبادي الشكور"
Dan amat sedikit dari golongan hambaKu yang bersyukur.

Amiiinnnn....