3 Golongan Manusia

Category:

Sesungguhnya ada 3 golongan manusia yang akan kembali menemui Allah dengan membawa amalan masing-masing.

Golongan Pertama :
Golongan yang hanya membawa amalan fardhu.

Mereka hanya melaksanakan amalan fardhu dan dalam masa yang sama meringan-ringankan amalan sunat. Mereka ini adalah golongan yang sombong kerana merasakan sudah cukup dengan amalan fardhu untuk digantikan dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan pada mereka. Meringan atau memperlekeh amalan sunat. Saya hendak tanya pada golongan ini!!! Amalan-amalan sunat itu datang dari siapa? Kalau kamu mengaku ianya dari Allah dan Rasul, bagaimana mungkin kamu tergamak meringan-ringankan kerana kamu mengaku kamu dari kalangan orang yang beriman. Tok Guru saya pernah menyebut :

  • 1. Amalan sunat ini adalah bertujuan untuk menampung serba sedikit cacat cela dalam amalan2 fardhu kita. Contoh dalam amalan solat. Imam al-Ghazali menyebut: Tatkala hamba Allah mengangkat takbir untuk memulakan solat, syaitan melepaskan seribu anak panah (gangguan atau bisikan) untuk membuatkan hamba Allah itu lalai dalam solatnya. Pernah suatu ketika Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam memberi tawaran kepada sesiapa yang khusyuk dalam solat akan dihadiahkan sehelai baju (jubah). Tawaran tersebut sebelum Nabi dan para sahabat memulai solat. Tiba-tiba dalam solat tersebut terlintas dihati Saidina Ali, "Alangkah baiknya jika Nabi memberikan 2 helai baju". Itu Saidina Ali, bayangkanlah jika ianya kita. Namun peristiwa ini bukanlah Saidina Ali sentiasa lalai dalam solat. Imam Bukhari ketika sedang solat, tiba-tiba beliau digigit 2 ekor lebah, selepas solat, beliau meminta sahabat beliau untuk melihat apa yang membuatkan belakang badan beliau sakit. Sahabat melihat kesan gigitan tersebut telah membengkak. Solat kita? Bunyi nyamuk sudah cukup membuatkan kita amat terganggu, inikan kalau kena sengat. Bahkan ada dari kalangan sahabat Nabi yang minta dicabut anak panah yang menusuk tubuhnya ketika mana dalam solat, kerana khusyuk membuatkan dia tidak merasa kesakitan. Peristiwa-peristiwa diatas sudah cukup menghadirkan dalam hati kita betapa lalainya solat kita. Justeru bagaimana kita boleh menjadi sombong pada amalan-amalan sunat dari Allah dan Rasul.
  • 2. Amalan sunat adalah untuk menghampirkan lagi diri kita pada Allah Taa'la. Membasahkan lidah dengan alunan zikrullah, bangun dikeheningan pagi untuk bermunajat pada Allah adalah amalan-amalan yang menghampirkan diri pada Allah. Sedekah, mengamalkan sunnah Nabi dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa kemanisan dalam amal ibadat hanya benar-benar menemui hakikatnya apabila kita merasa tidak puas melakukannya justeru sentiasa rindu serta berhajat untuk melakukannya. Kemanisan pada solat fardhu hanya tercapai apabila kita merasa ringan dalam melaksanakan solat-solat sunat. Ini merupakan suatu kesinambungan yang terikat.
  • 3. Amalan sunat tanda kasih seorang hamba pada Tuhannya. Iaitu lidahnya lidah Allah, telinganya telinga Allah, matanya mata Allah. Begitulah anggota-anggota yang lain. Kenapa ulama tasawuf mengatakan mereka ini dari golongan yang sombong. Diumpamakan: Giant Hypermarket membuat promosi atau sale. Beli satu jug air percuma 4 biji gelas. Tiba-tiba kamu membeli jug tersebut, maka cashier memberikan kamu 4 biji gelas, lalu kamu menolak untuk mengambil. Jika sayalah cashier tersebut, pasti saya akan menyebut dalam hati: "sombong nate niii".. Begitulah hal keadaannya ketika Allah memberi pelbagai tawaran ganjaran hasil dari amalan-amalan sunat. Kamu melaksanakan amalan-amalan sunat tersebut dengan menggunakan modal anggota badan hasil dari ciptaan Allah dan keuntungannya (ganjaran atau fadhilat) juga datang dari Allah. Tiba-tiba kamu meringankan bahkan memperlekehkannya. Mereka ini hanya akan mengalami kerugian yang teramat sangat di akhirat kelak.

Ingat! Kerugian di hadapan Allah bukan seperti mana kamu rugi didalam perniagaan di atas muka dunia. Golongan yang rugi ini akan menyesal yang tiada kesudahan sehingga merintih dan merayu seperti mana yang Allah rakamkan dalam ayat dari Surah as-Sajadah:

"ربنا أبصرنا وسمعنا فرجعنا نعمل صالحا إنا موقنون"

"Wahai Tuhan kami, kami telah melihat, dan kami telah mendengar (ya'ni peringatan-peringatan dari Allah dan Rasul ketika diatas muka dunia dulu), maka kembalikanlah kami (ya'ni ke atas muka dunia), nescaya kami akan melaksanakan amal-amal soleh. Sesungguhnya kami telah yaqin."

Golongan Kedua :
Golongan yang kembali membawa amalan-amalan sunat semata-mata, dalam masa yang sama meninggalkan amalan fardhu. Mereka adalah golongan yang "bodoh".

Perhatikan: 6 azab didunia bagi orang yang meninggalkan solat.

  • 1. Diangkat keberkatan pada umurnya.
  • 2. Diangkat keberkatan pagi rezekinya.
  • 3. Doanya tidak diangkat kelangit oleh para malaikat.
  • 4. Dihapuskan tanda orang soleh pada wajahnya.
  • 5. Tidak terpelihara Islam yang ada padanya.
  • 6. Segala amal kebajikan yang dilaksanakannya tidak diberikan pahala (ya'ni tidak diterima).

Sembahyang fardhu tak buat, tapi bangun tahajjud dan baca al-Quran. Lepas tahajjud, tidur balik. Subuh tidak solat. Sungguhlah.. Saya melihat ramai manusia terpedaya. Kelam kabut beli minyak attar jenama Malaikat Subuh... tapi tidak bangun solat Subuh. Sebab itu saya nak beri cadangan kepada penjual-penjual minyak wangi attar. Letak jenama Malaikat Maut. Tulis pulak, "Barangsiapa memakai wangian malaikat maut, nescaya dia memanggil malaikat maut untuk menghampirinya dan dekat jua dia dengan kematiannya". Saya yaqin, tidak ada yang berani beli. Atau dalam bab promosi, beli jug satu percuma 4 cawan. Kita pergi ke supermarket tersebut dan beritahu cashier : "Saya tak nak jug, tapi saya nak cawan yang percuma, kalau saya nak jug, saya kena bayar. Sekarang ni, saya nak cawan yang percuma tu saja." Sudah tentu cashier kata: "bodo orang ni, dok reti langsung". Maka, begitulah agama. Jangan sekali-kali lari dari kaedah. Jaga yang Fardhu dan dalam masa yang sama jangan meringankan yang sunat dan peliharalah amalan-amalan itu dengan akhlaq tasawuf.


Golongan Ketiga :
Golongan yang membawa amalan fardhu dan sunat (ya'ni mereka memelihara amalan-amalan fardhu dan dalam masa yang sama tidak meringan-ringankan amalan-amalan sunat hatta sekecil mana ia pun).

Inilah golongan yang beruntung, yang melihat semua amal kebajikan tersebut datangnya dari Allah dan Rasul. Kerana mereka melihat setiap amalan tersebut sama ada kecil atau sunat, sudah semestinya disana ada didikan dan rahsia yang kita ketahui dan yang tidak kita ketahui, mereka ini adalah golongan yang tenggelam dalam ilmu Allah semata-mata (ya'ni yang memandang segala amalan yang datang dari Allah dan Rasul dengan mata hati).
Disaat inilah akan hadirnya kelazatan dalam setiap amalan hasil dari pembukaan hijab (ya'ni dinding daripada kita mengetahui rahsia-rahsia dalam amalan yang kita laksanakan). Setiap kali saya berdiri dalam saf dan menghadap qiblat ketika hendak memulai solat, hati saya berbisik, merayu, berharap dan merintih memohon dari Allah Ta'ala agar memberi tuntunan ke jalan yang benar, lurus lagi yang diredhaiNya sepertimana Allah mewajibkan saya menghadap qiblat ketika dalam solat. Permulaan solat, kita menghadap qiblat. Begitu juga kita bermohon agar permulaan hari, minggu, bulan dan tahun kita sentiasa lurus sepertimana kita solat selagi roh kita tidak berpisah dengan jasad kita.

Sebab itu ketika mendengar azan subuh, kita diajar agar memuji Allah dengan ucapan:
"Ya Allah, itu suara seruan pendakwah-pendakwahMu, petanda malam akan berlabuh dan petanda matahari akan menjelma. Oleh kerana matahari akan memancarkan cahayanya untuk menyinari bumi, maka begitu jugalah hambamu yang hina lagi dhoif ini memohon Engkau menerangi hatiku dengan cahayaMu seperti mana Engkau memberi cahaya kepada matahari untuk menyinari bumi." Biarlah kita melafazkan ucapan diatas demgan penuh merendah diri seperti mana ketika kita melafazkan "سبحان ربي الأعلى وبحمده" ketika sujud dalam solat kerana sifat perendahan diri secara mutlak kepada Allah Ta'ala adalah didikan dan rahsia ketika kita sujud dalam solat. Begitu juga ketika kita berdoa dalam situasi apa sekalipun, lebih-lebih lagi ketika selesai solat. Ramai dari kalangan umat Islam yang berdoa dalam kelalaian (ya'ni tidak memusatkan hatinya dengan sepenuhnya pada Allah), mohon pada Allahu Rabbul A'alamiin dalam penuh kelalaian ya'ni tiada ar-roja' (pengharapan) berbanding memohon bantuan dari orang-orang besar seperti YB, Menteri-menteri, Sultan-sultan dan sebagainya. Bukan main beradab dan merendah diri ketika memohon subsidi, sokongan tender, sokongan kerja dan sebagainya dari orang-orang besar, tetapi tidak beradab (meletakkan kedua-dua tangan di paha ketika berdoa kepada Allah) dan sombong (iaitu mohon daripada Allah tetapi hatinya berpaling dari Allah disaat itu).

Renungkanlah sedalam-dalamnya! "Dimanakah letaknya haqiqat nilai kehambaan kita disisi Allah Taa'la?".
Ketika Allah menyoal kita di alam roh: "ألست بربكم؟" "Adakah kamu mengaku Aku Tuhan kamu?". "قالوا : بلى شهدنا". Mereka berkata (menjawab) "Bahkan, kami bersaksi (bahawa Kamu Tuhan bagi kami)". Hari ini manusia berpaling dan melakukan pelbagai kerosakan di atas muka bumi, kerana lupa kepada perjanjian pertama mereka dengan Allah Ta'ala ketika dialam roh lagi. Lupa dalam arti kata tidak mengenal Allah Ta'ala ketika di alam dunia walaupun haqiqatnya mereka telah mengenal Allah ketika di alam roh lagi.

Sebab itu proses dakwah Islamiyyah Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam yang pertama adalah untuk mengenal Allah Ta'ala ya'ni mentauhidkan Allah Taa'la. "أول الدين معرفة الله", "Awal-awal bagi ugama itu ialah mengenal Allah Ta'ala". Tanya umat Islam hari ini soalan-soalan mudah seperti: "Apakah sifat yang harus bagi Allah? Bagaimanakah cara kita hendak mengenal Allah Ta'ala? "Saya pernah mengikuti kursus kahwin beberapa tahun yang lepas, penceramah menanyakan soalan kedua diatas, kebanyakan jawapan dari bakal-bakal suami dan isteri ini tidak tahu dan lupa. Inilah bakal-bakal suami isteri yang akan menjadi pembimbing dalam institusi kekeluargaan Islam alaf moden, mudah-mudahan Allah mencampakkan nur kedalam hati mereka. Amiinnn Ya Rabbal A'laamiinnnn....


Renung-renungkanlah...

*InsyaAllah akan saya kupaskan bab mencari, menyentuh dan seterusnya memaut rahsia-rahsia mentauhidkan Allah Ta'ala ini pada siri yang akan datang
.

Selesai 3 golongan yang beramal dalam keadaan kembali menemui Tuhannya. 3 golongan ini akan saya kupaskan lagi menurut Kitab al-Hikam pada siri yang akan datang. InsyaAllah.



Salam ukhuwah fillah dari ana,
muhd_ally @ Muhammad Rashidi Abdullah

Comments (0)