Warkah Untuk Majalah Al-Islam

Category: ,






Majalah Al-Islam telah memohon maaf berhubung penyiaran artikel "Tinjauan Al-Islam dalam Gereja : Mencari kesahihan remaja Melayu murtad". Saya sebagai bekas penganut Katolik dan pernah bertugas sebagai pembantu Paderi merasa terpanggil untuk memberi nasihat dan komen kepada seluruh warga majalah Al-Islam. Benar, penyiaran tersebut telah menyinggung perasaan seluruh penganut Kristian umumnya dan khusus pula kepada penganut Katolik. Namun, saya tetap berbangga dengan anda.




1. Kerana berani membuat penyelidikkan dan pendedahan. Cuma pendedahan itu tidak kena pada tempatnya.

2. Kerana anda berani untuk membuat permohonan maaf. Permohonan maaf itu sebenarnya menunjukkan anda dari kalangan umat Islam yang faham tentang tuntunan agama apabila berlakunya insiden yang melibatkan sensitiviti agama lain. Tidak ego dan bertindak secara tidak bertamadun seperti mana dalam insiden pembakaran beberapa buah gereja yang akhirnya surau dan masjid juga menjadi mangsa.

Izinkan saya dengan merendah diri untuk membuka minda anda.

1. Dalam isu penggunaan nama Allah. Saya ketika masih beragama Kristian, mengakui Tuhan itu adalah Allah. Kadang-kadang kami menggunakan Tuhan Bapa atau God, ia tetap merujuk kepada Allah. Kadang-kadang kami menggunakan terus kalimah Allah itu sendiri. Di dalam Bible sendiri terdapat penggunaan kalimah Allah dalam ayat-ayat tertentu. Bagaimana pun, dalam keadaan umat Islam hari ini, saya menegaskan bahawa saya tidak bersetuju bagi Kristian menggunakan kalimah Allah. Ini kerana dikhuatiri menyebabkan lebih banyak berlakunya kekeliruan dalam masyrakat dan umat Islam kita. Tetapi persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini? Di mana silapnya kita sebagai agama rasmi dan penganut majoriti di negara kita?

2. Dalam insiden pembakaran gereja. Ketika berlakunya perperangan di zaman Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam, Nabi sendiri berpesan kepada tentera Muslimin :

a) Agar jangan mengganggu pendeta-pendeta mereka yang sedang beribadat.

b) Agar jangan mengganggu rumah-rumah ibadat mereka.

c) Jangan mengganggu kaum yang lemah (kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua).

Di Semanjung Malaysia, penganut Islam adalah majoriti. Tetapi ingat bahawa di Sabah dan Sarawak, penganut Islam adalah minoriti. Bagaimana agak-agaknya jika berlaku insiden membalas dendam di sana? Sempatkah atau beranikah kita membantu mereka?

3. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada saya untuk mengIslamkan 11 individu dan sebuah keluarga. Kini pun saya dalam proses lanjutan setelah berjaya menjinakkan 2 individu non muslim. Seorang berasal dari Sabah dan seorang lagi berasal dari Sarawak. Justeru bagaimanakah pendekatan saya menarik mereka?

a) Saya tidak menggunakan pendekatan menyerang atau mendedahkan kelemahan ajaran Kristian walaupun saya mengetahuinya. Tetapi saya menggunakan pendekatan menerangkan keindahan syariat Islam itu sendiri. Ia berhubung dengan kelebihan atau pun rahsia syariat yang ada pada Islam. Contoh :


"Bekas yang di gunakan untuk memasak atau menghidang daging khinzir. Bau hamis yang terhasil dari daging khinzir itu sama sekali tidak hilang dengan basuhan yang menggunakan sabun pencuci. Tetapi ianya hilang dengan kaedah sama yang di terdapat dalam syariat Islam. Sekali basuhan daripada air mutlak yang bercampur dengan tanah yang suci dan di ikuti dengan 6 kali air mutlak, ia mampu menghilangkan bau tersebut. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri." (salah satu contoh sahaja)

b) Saya mendekati mereka dengan dakwah melalui perbuatan. Menunjukkan akhlaq yang baik melalui tingkah laku atau pun percakapan. Inilah kaedah yang paling berkesan. Keluarga saya yang menyisihkan saya suatu ketika dulu, kini amat menyanyangi saya kembali. Abang-abang saya yang terang-terang memusuhi, menghina dan pernah menghalau saya ketika di awal keIslaman saya, kini segan dan amat menghormati saya.

Pernah ketika saya berhujah dengan abang saya, setelah keadaan menjadi normal (sebelumnya agak panas) lalu saya berkata: "Saya sampaikan kebenaran Islam ini walaupun kesannya pahit kerana saya sayangkan abang. Saya takut di akhirat nanti, abang akan mendakwa saya tidak menyampaikan ajaran Islam walaupun saya mengetahui kebenarannya." Kata-kata ini membuatkan abang saya terdiam. Riak wajahnya tiba-tiba berubah. Berubah dari wajah marah kepada wajah yang menampakkan kelembutan.

c) Menghargai kehadiran mereka dalam diari persahabatan anda. Mengambil berat tentang apa pun permasalahan dalam kehidupan mereka. Tunjukkan sikap ingin dan sedia untuk membantu mereka dengan kadar kemampuan anda.

d) Raikan mereka ketika mereka mendapat apa-apa kesukaan (apa yang diingini) dan tunjukkan simpati anda ketika mereka ditimpa musibah.

4. Budaya menyalahkan pihak gereja dalam isu murtad ini telah lama berlalu. Kini masih lagi terkongkong dengan masalah ini sejak sekian lama. Lebih baik kita perkemaskan kembali beberapa sistem institusi di negara kita.

a) Institusi pendidikan yang menitik beratkan jati diri remaja. Bukannya mengejar pencapaian akademik. Begitu juga dengan warga pendidik di sekolah-sekolah, tanamkan penghayatan Islam melalui jati diri, contoh kepada pelajar, dan keikhlasan ketika bertugas. Bukan setakat warga pendidik yang hanya memikirkan dalam masalah makan gaji semata-mata.

b) Institusi agama perlu melakar dan melaksanakan program-program yang lebih berkesan. Gunakan kaedah-kaedah terbaru untuk menarik perhatian golongan remaja. Ulama' kena sering turun ke bawah, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan di media massa atau di masjid-masjid. Kalau boleh, dampingi remaja itu sehingga ke peringkat menemui mereka di tempat-tempat yang di kunjungi oleh golongan remaja.


Cukuplah setakat ini. Letakkan noktah terakhir di catatan minda anda dengan menyalahkan pihak gereja. Apa yang pasti perlaksanaan sistem mereka lebih baik daripada kita. Walaupun sistem itu sebenarnya terbit dari kita. Koreksi kembali kelemahan kita, kerana menyalahkan pihak lain dalam keadaan kita terpalit dengan pelbagai kelemahan, hanyalah menambahkan lagi kelemahan kita.

Justeru itu, saya memohon kemaafan jika penulisan saya ini menyingung perasaan warga kerja majalah Al-Islam. Saya memberi teguran kerana saya merupakan peminat setia majalah anda setelah ketiadaan Astora Jabat.



" Bersama Memperjuangkan Islam Sehingga Akhir Hayat "

Comments (0)