Padang A'rafah

Category:

Malam tadi selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Kampung Butut, Kuala Berang, beberapa jemaah yang bagiku kali pertama datang mendengar siri pengajian Kitab Bahrul Mazi Jilid 17 yang saya syarahkan secara mingguan datang menegur. Ada yang kali pertama datang mendengar kuliahku dan ramai juga yang datang bertanya keadaan ibuku. Maklumlah minggu lepas aku "ponteng" sebab balik ke Kuching. Namun yang memeranjatkanku, ada seorang Pak Cik yang merupakan bekas tentera dan pernah bertugas di Sarawak. Lalu berlakulah dialog begini :

  • Pak Cik : "Ustaz asal mana, Sarawak?"
  • Aku : "Amba asal Lundu dalam bahagian Kuching."
  • Pak Cik : "Ustaz tau tak di Sarawak ada Padang Arafah. Sohor dinu."
  • Aku : "Dok tau pulok. Belah mana tu Pok?"
  • Pak Cik : "Belah Sibu Ustaz. Askar-askar semenanjung bagi gelaran Padang Arafah. Situ dataran ja. Tapi hok sohor sampai orang dok gelar Padang Arafah tu sebab ramai sangat orang kupul situ, pasal "ayam" banyok Ustaz. Kebanyakannya pompuan Iban."
Lepas itu aku berlalu menuju ke kereta untuk makan malam bersama 3 jemaah masjid. Dalam perjalanan balik ke rumah, aku merasakan amat terhina dan meluat.

  • 1. Kerana gelaran tempat aktiviti pelacuran tersebut diberi nama Padang Arafah oleh tentera-tentera Melayu dari Semenanjung yang beragama Islam.
  • 2. Cerita tersebut seolah-olah menggambarkan begitu luasnya ruang untuk aktiviti pelacuran kerana di sekeliling Dataran tersebut banyak hotel-hotel yang menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan aktiviti tersebut. Dan katanya lagi, tiada gangguan dari mana-mana Pihak.

Bagaimana tergamaknya mereka menggelarkan dataran tersebut sebagai Padang Arafah, sedangkan sebagai orang yang beragama Islam sepatutnya mengetahui betapa besarnya perhimpunan manusia di sana yang memberi gambaran perkumpulan sekalian dari manusia di padang mahsyar kelak. Di Padang Arafahlah turunnya ayat terakhir dalam al-Quran.

Ketika Nabi sedang menunggang unta di Padang Arafah, tiba-tiba unta Nabi jatuh melutut kerana beratnya menanggung ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibrail kepada Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam.
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan agamaKu bagi kamu, dan aku telah sempurnakan nikmatKu dan Aku redha Islam menjadi agama bagi kamu".
Kata Imam Ibnu Katsier : Oleh kerana Islam telah disempurnakan oleh Allah Ta'ala, maka sekali-kali Islam tidak berhajat kepada mana-mana penambahan dan mana-mana pengurangan dalam syaria'tNya.

Wallahu A'lam.

Comments (0)