Penawar Hati

Category: ,

Suatu ketika seorang sahabat karib bertemu Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam iaitu Ibnu Mas'ud. Beliau didatangani seorang lelaki yang kelihatan dirundung duka nestapa. Lelaki ini berkata kepada Ibnu Mas'ud, "Saudara, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapat aku jadikan penawar untuk jiwaku yang gelisah ini. Akhir-akhir ini jiwaku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga sentiasa kusut, makanku tidak kenyang, tidurku juga tidak lena..."

Mendengar itu, Ibnu Mas'ud membalas, "sekiranya itulah penyakit yang menimpamu, hendaklah kamu bawa hati kamu mengunjungi tiga tempat ini:

  • 1: Tempat orang yang membaca al-Quran: sama ada kamu membacanya atau kamu mendengar orang lain membacanya.
  • 2: Majlis ilmu: yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah.
  • 3: Carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadah kepada Allah dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Demikian penawar hati gelisah. Kadang waktu kita tidak tahu punca yang membawa keresahan yang memenatkan fizikal dan mental kita. Sesungguhnya apabila hati kosong daripada mengingati Allah, hati akan mudah dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Justeru, segala yang salah menjadi nikmat dan segala yang baik akan menjadi kebencian. Renung-renungkanlah ke dalam diri, bagaimanalah hati kita. Dipenuhi kebaikan atau kemungkaran? Bersegeralah kembali kepadaNya kerana entah bila ajal menjelma.

Wallahu A'lam.

Kembali Kepada Asas Islam

Category:

Melihat kepada rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan, bagi orang yang tidak teliti dalam masalah agama tidak akan melihat rahsia ataupun hakikat ketiga-tiga prinsip asas dalam Islam ini. InsyaAllah, akan saya jelaskan disini sekadar kemampuan dari segi ilmu saya.

Pertama, 5 perkara dalam rukun Islam adalah asas utama dalam menentukan seseorang itu menjadi orang yang bergelar BERIMAN. Maka, rukun Iman yang 6 hakikatnya adalah untuk mengawal atau memelihara 5 perkara yang ada pada rukun Islam. Sekiranya seseorang mengingkari salah satu daripada rukun Iman sama ada dengan i'tiqad, perbuatan mahupun ucapan, seperti tidak percaya adanya malaikat secara mutlak ya'ni tidak ragu-ragu, maka terbatallah keIslamannya.


Kerana dalam masalah rukun Iman 6 - 1 jawapannya adalah 0. Sekiranya seseorang itu meragui dalam perkara yang melibatkan wujudnya malaikat, maka tiada jua terbatal keIslamannya, namun 4 amalan yang ada pada rukun Islam tersebut tidak diterima oleh Allah Ta'ala. Kerana apabila menyebut wajib beriman kepada 6 rukun Iman, maka wajib beriman, yaqin dan percaya secara mutlak tanpa adanya keraguan. Walaupun ia melibatkan 4 amalan dalam rukun Islam tersebut, namun perlu diingatkan bahawa ia juga melibatkan semua amalan-amalan soleh yang lain seperti sedekah, berzikir, mendirikan masjid dan lain-lain.

Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam mengingatkan umatnya:

"إن الله تعالى لا ينظر إلى صوركم وأجسامكم, ولكن ينظر إلى قلوبكم وإعمالكم"
Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa paras kamu dan warna kulit kamu, akan tetapi Allah memandang pada hati kamu dan amalan-amalan kamu".
Maka kata para Ulama', قلوبكم didalam hadis tersebut memberi makna i'tiqad atau juga dipanggil aqidah ataupun tauhid. Dalam contoh yang lain sepertimana al-Quran, menafikan segala hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran, maknanya kamu menafikan Allah itu Maha Bijaksana. Andaikan kamu ragu-ragu hatta satu bab atau satu ayat pun dalam al-Quran, maka hati kamu "tidak bersih ataupun kotor" pada Allah Ta'ala. Dengan kerana itu segala amalan-amalan kamu tidak diterima oleh Allah kerana Allah memandang kepada hati terlebih dahulu, selepas itu barulah amalan-amalan kamu. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu berceramah, namun dia menjual agama demi kepentingan dunianya ya'ni dia berceramah kerana hendak mencari kemasyhuran, harta dan lain-lain, maka Allah tidak akan melihat segala amalan kebaikan yang dibuatnya melainkan amalan tersebut hanya menjadi fitnah ya'ni bala ujian bagi dirinya semata-mata.

Ihsan, hakikatnya hendak memelihara keimanan seseorang (rukun Iman), kerana Nabi bersabda: "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihat akan Allah, jika tidak pun, maka ketahuilah, bahawasanya Allah memerhatikan akan kamu".
Disinilah pentingnya mengetahui perbezaan 2 mata ya'ni yang pertama mata kepala dan kedua mata hati. Proses ini memerlukan penelitian dan mujahadah melalui kaedah ilmu tasauf. Bagaimana untuk membuka mata hati melalui mata kepala. Mana-mana orang yang mempunyai pengertian Ihsan pada diri dia, maka mustahil untuk dia melanggar hatta satu juzu' pun daripada Rukun Iman, sama ada secara mutlak ataupun keraguan.

Sabda Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam :
"إن فضل الإيمان أن تعلم أن الله معك حيث ما كنت"
Seutama-utama iman itu bila kamu merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kamu walau dimana pun kamu berada
.

Sebagai contoh, Firman Allah Ta'ala: "Dan janganlah kamu dagangkan ayat-ayat Allah dengan nilaian yang sedikit". Oleh kerana pengertian Ihsan ada dalam diri seseorang, maka sudah pasti dia tidak berani menjual agama Allah, mendustakan ayat-ayat Allah (hukum-hukum) atau menyembunyikan ayat-ayat Allah, kerana dia sedar dia sentiasa diperhatikan Allah dan Allah Maha Mengetahui perkara yang terang mahupun yang tersembunyi.

Perhatikan "nilaian yang sedikit" pada ayat diatas: Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam bersabda: "Kalaulah sekiranya harta yang ada di dunia ini ada nilaian hatta sebesar sebelah sayap nyamuk sekalipun disisi Allah, nescaya Allah tidak akan memberi minum hatta seteguk air pun kepada orang-orang kafir".

Saya tidak dapat menghuraikan dengan panjang lebar sepertimana yang saya lakukan pada kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah saya di surau mahupun masjid kerana menggunakan cc ni agak terbatas sikit. Kehilangan laptop awal tahun lalu benar-benar menyulitkan namun saya tetap mengunjungi cc untuk memperbaiki blog dan membuat penulisan terkini. Bak kata Allahyarham P. Ramlee dalam Pendekar Bujang Lapok...DUGAAN...

Adab Menuntut Ilmu

Category:

Antara adab menuntut ilmu yang telah digariskan oleh Imam al-Ghazali ialah :

  • 1. Niat yang ikhlas.
  • 2. Bersih dari sifat mazmumah.
  • 3. Bertujuan untuk mencari keredhaan Allah - matlamat utama.
  • 4. Tekun berusaha dan bertawakkal.
  • 5. Menjauhi maksiat.
  • 6. Memilih teman yang soleh.
  • 7. Menjaga kehormatan diri.
  • 8. Banyakkan zikrullah.
  • 9. Memohon keredhaan ibu bapa.
  • 10.Menghormati guru.
  • 11. Beramal dengan ilmu yang dipelajari.

Jagalah peradaban sebagai seorang penuntut muslim, moga-moga ilmu itu dapat menjadi bekal kita di alam sana..

Wallahu A'lam.

Mencari Bahagia

Category:

Kaedah Mencari Bahagia Menurut al-Quran & as-Sunnah :

  • 1. Beriman dan beramal soleh.
    "Sesiapa yang beramal soleh lelaki atau perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (Surah al-Nahl : 97)
  • 2. Banyak mengingati Allah. Dengan berzikir, kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekaligus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana.
    Firman Allah : "Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan tenang" (Surah ar-Ra'd :28)
  • 3. Bersandar kepada Allah. Dengan cara ini, seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa.
    Firman Allah yang bermaksud : Siapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya. (Surah at-Talaq :3)
  • 4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
  • 5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam. Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
  • 6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri. Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepada kita.
  • 7. Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia. Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah, ada antara Hukama' berkata :
    Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia, nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa..

* Sumber : Majalah SOLUSI Isu. No.6

Puteri Kesayangan, Penyejuk Hati

Category:




Inilah puteri kesayanganku : Nurul Asma' ...

Kerenahnya benar-benar membuat hatiku tercuit. Terasa bahagia memiliki zuriat sendiri. Doaku moga anakku menjadi anak yang solehah. Amiiinn...

Jawatan Kosong

Category:


SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN:
  • A. Ahli Syurga Dari Awal.
  • B. Ahli Neraka Dari Awal.
  • C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
  • 1. Nikmat kubur.
  • 2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
  • 3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
  • 4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
  • Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
  • Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
  • Anda tidak perlu bawa siji-sijil, termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
  • Anda tidak perlu bawa pingat, Mercedes mata belalang atau kad kredit.
  • Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
  • Anda tidak perlu berparas rupa yang cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
  • Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA:
  • Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
  • 1. Siapa Tuhan anda?
  • 2. Apa Agama anda?
  • 3. Siapa Nabi anda?
  • 4. Apa Kitab anda?
  • 5. Di mana Kiblat anda?
  • 6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah jariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya." Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: "Dari arasku tidak ada jalan masuk". Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: "Dari arasku tidak ada jalan masuk". Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: "Dari arasku tidak ada jalan masuk".
Kemudian didatangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan: "Di bahagianku tidak ada jalan masuk". Maka malaikat berkata kepadanya: "Duduklah kamu". Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang lelaki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya, dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: "Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang". Maka berkata malaikat: "Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh sahaja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya, dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?" Maka berkata mayat itu: "Lelaki itu ialah Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasallam itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala". Maka malaikat berkata kepada mayat itu: "Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat InsyaAllah". Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikatakan padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

Sila war- warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.

Wallahu A’lam. Semoga berjaya dalam temuduga ini.

Jazakallah…

Sayangi Ibumu

Category:

Hayati tulisan ini dan selami seikhlasnya, InsyaAllah airmata iman dan taqwa akan bercucuran tanpa kamu sedari...

Bila dahaga, yang susukan aku... mak
Bila lapar, yang suapkan aku... mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku... mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut... mak
Bila bangun tidur, aku cari... mak
Bila nangis, orang pertama yang datang... mak
Bila nak bermanja, aku dekati... mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah... mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya... mak
Bila nakal, yang memarahi aku... mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma... mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah... mak
Bila takut, yang tenangkan aku... mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk... mak
Aku selalu teringatkan... mak
Bila sedih, aku mesti telefon... mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu... mak
Bila bengang, aku suka luah pada... mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah... mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga... mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu... mak
Bila ada masalah, yang paling risau... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni... mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku... mak
Kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam dan lauk pauk... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak

Yang selalu puji aku... mak
Yang selalu nasihat aku... mak
Bila nak kahwin, orang pertama aku tunjuk dan rujuk... mak


Aku ada pasangan hidup sendiri....


Bila seronok, aku cari... pasanganku
Bila sedih, aku cari... mak


Bila berjaya, aku ceritakan pada... pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada... mak


Bila bahagia, aku peluk erat... pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat... emakku


Bila nak bercuti, aku bawa... pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah... mak


Bila sambut valentine, aku bagi hadiah pada... pasanganku
Bila sambut hari ibu, aku cuma dapat ucapkan... “Selamat Hari Ibu”


Selalu, aku ingat pasanganku

Selalu, mak ingat kat aku


Bila-bila, aku akan telefon... pasanganku
Entah bila, aku nak telefon... mak


Selalu, aku belikan hadiah untuk... pasanganku
Entah bila, aku nak belikan hadiah untuk... emak


Renungkan:

"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja, bolehkah kau kirim wang untuk mak?
Mak bukan nak banyak, lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

Berderai air mata jika kita mendengarnya.

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya?

Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya?

Berapa ramai yang sanggup menggantikan lampin ibunya?

Berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya?

Berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya?

Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?

Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya?

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya. Kos upah membantu ibu:

  • 1) Tolong pergi kedai : RM4.00
  • 2) Tolong jaga adik : RM4..00
  • 3) Tolong buang sampah : RM1.00
  • 4) Tolong kemas bilik : RM2.00
  • 5) Tolong siram bunga : RM3.00
  • 6) Tolong sapu sampah : RM3.00
  • Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar di mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

  • 1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
  • 2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
  • 3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
  • 4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
  • 5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
  • Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA


Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata:

"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Aduhai teman-teman yang masih memiliki ibu. Curahkanlah baktimu seikhlasnya pada dia yang bergelar ibu. Siapa kita tanpa ibu?

*sumber : email yang diforward pada isteri tercinta.

Seminar Lenyaplah Agenda Zionis

Category:


SEMINAR LENYAPLAH AGENDA ZIONIS

Tarikh:

9 MEI 2009 (Sabtu)

Masa:

8.00am-5.00pm

Tempat:

Dewan Merdeka PWTC

Yuran:

RM10 sahaja (Makanan dan Beg Seminar Disediakan)

Untuk pendaftaran, sila telefon:

Tel: 03-89267019

Faks: 03-89259963

Email: kbaz2009@yahoo.com

SMS: 019-6077372 Tapi

Pembentang:

DR. AZZAM AT-TAMIMY

  • 1-Sejauh Manakah Kesan Kewujudan Zionis Terhadap Dunia Sejagat
  • 2- Peranan Seorang Muslim Dalam Menghadapi Musuh Zionis

DR. MOHSEN SALEH

  • 1-Hakikat Zionis dan Agenda yang Dipropagandakan
  • 2-Kebangkitan ISLAM di Palestin dan Status Agenda Zionis Masa Kini

DR. ROSLAN MOHD NOR

  • 1-Kejatuhan ISLAM dan Kewujudan Negara Israel

Dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Aman Palestin Berhad

www.kbaz.net