Kembali Kepada Asas Islam

Category:

Melihat kepada rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan, bagi orang yang tidak teliti dalam masalah agama tidak akan melihat rahsia ataupun hakikat ketiga-tiga prinsip asas dalam Islam ini. InsyaAllah, akan saya jelaskan disini sekadar kemampuan dari segi ilmu saya.

Pertama, 5 perkara dalam rukun Islam adalah asas utama dalam menentukan seseorang itu menjadi orang yang bergelar BERIMAN. Maka, rukun Iman yang 6 hakikatnya adalah untuk mengawal atau memelihara 5 perkara yang ada pada rukun Islam. Sekiranya seseorang mengingkari salah satu daripada rukun Iman sama ada dengan i'tiqad, perbuatan mahupun ucapan, seperti tidak percaya adanya malaikat secara mutlak ya'ni tidak ragu-ragu, maka terbatallah keIslamannya.


Kerana dalam masalah rukun Iman 6 - 1 jawapannya adalah 0. Sekiranya seseorang itu meragui dalam perkara yang melibatkan wujudnya malaikat, maka tiada jua terbatal keIslamannya, namun 4 amalan yang ada pada rukun Islam tersebut tidak diterima oleh Allah Ta'ala. Kerana apabila menyebut wajib beriman kepada 6 rukun Iman, maka wajib beriman, yaqin dan percaya secara mutlak tanpa adanya keraguan. Walaupun ia melibatkan 4 amalan dalam rukun Islam tersebut, namun perlu diingatkan bahawa ia juga melibatkan semua amalan-amalan soleh yang lain seperti sedekah, berzikir, mendirikan masjid dan lain-lain.

Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam mengingatkan umatnya:

"إن الله تعالى لا ينظر إلى صوركم وأجسامكم, ولكن ينظر إلى قلوبكم وإعمالكم"
Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa paras kamu dan warna kulit kamu, akan tetapi Allah memandang pada hati kamu dan amalan-amalan kamu".
Maka kata para Ulama', قلوبكم didalam hadis tersebut memberi makna i'tiqad atau juga dipanggil aqidah ataupun tauhid. Dalam contoh yang lain sepertimana al-Quran, menafikan segala hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran, maknanya kamu menafikan Allah itu Maha Bijaksana. Andaikan kamu ragu-ragu hatta satu bab atau satu ayat pun dalam al-Quran, maka hati kamu "tidak bersih ataupun kotor" pada Allah Ta'ala. Dengan kerana itu segala amalan-amalan kamu tidak diterima oleh Allah kerana Allah memandang kepada hati terlebih dahulu, selepas itu barulah amalan-amalan kamu. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu berceramah, namun dia menjual agama demi kepentingan dunianya ya'ni dia berceramah kerana hendak mencari kemasyhuran, harta dan lain-lain, maka Allah tidak akan melihat segala amalan kebaikan yang dibuatnya melainkan amalan tersebut hanya menjadi fitnah ya'ni bala ujian bagi dirinya semata-mata.

Ihsan, hakikatnya hendak memelihara keimanan seseorang (rukun Iman), kerana Nabi bersabda: "Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihat akan Allah, jika tidak pun, maka ketahuilah, bahawasanya Allah memerhatikan akan kamu".
Disinilah pentingnya mengetahui perbezaan 2 mata ya'ni yang pertama mata kepala dan kedua mata hati. Proses ini memerlukan penelitian dan mujahadah melalui kaedah ilmu tasauf. Bagaimana untuk membuka mata hati melalui mata kepala. Mana-mana orang yang mempunyai pengertian Ihsan pada diri dia, maka mustahil untuk dia melanggar hatta satu juzu' pun daripada Rukun Iman, sama ada secara mutlak ataupun keraguan.

Sabda Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam :
"إن فضل الإيمان أن تعلم أن الله معك حيث ما كنت"
Seutama-utama iman itu bila kamu merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kamu walau dimana pun kamu berada
.

Sebagai contoh, Firman Allah Ta'ala: "Dan janganlah kamu dagangkan ayat-ayat Allah dengan nilaian yang sedikit". Oleh kerana pengertian Ihsan ada dalam diri seseorang, maka sudah pasti dia tidak berani menjual agama Allah, mendustakan ayat-ayat Allah (hukum-hukum) atau menyembunyikan ayat-ayat Allah, kerana dia sedar dia sentiasa diperhatikan Allah dan Allah Maha Mengetahui perkara yang terang mahupun yang tersembunyi.

Perhatikan "nilaian yang sedikit" pada ayat diatas: Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam bersabda: "Kalaulah sekiranya harta yang ada di dunia ini ada nilaian hatta sebesar sebelah sayap nyamuk sekalipun disisi Allah, nescaya Allah tidak akan memberi minum hatta seteguk air pun kepada orang-orang kafir".

Saya tidak dapat menghuraikan dengan panjang lebar sepertimana yang saya lakukan pada kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah saya di surau mahupun masjid kerana menggunakan cc ni agak terbatas sikit. Kehilangan laptop awal tahun lalu benar-benar menyulitkan namun saya tetap mengunjungi cc untuk memperbaiki blog dan membuat penulisan terkini. Bak kata Allahyarham P. Ramlee dalam Pendekar Bujang Lapok...DUGAAN...

Comments (0)