1:43 PM
Posted by
PERDIM MALAYSIA
Malam tadi selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Kampung Butut, Kuala Berang, beberapa jemaah yang bagiku kali pertama datang mendengar siri pengajian Kitab Bahrul Mazi Jilid 17 yang saya syarahkan secara mingguan datang menegur. Ada yang kali pertama datang mendengar kuliahku dan ramai juga yang datang bertanya keadaan ibuku. Maklumlah minggu lepas aku "ponteng" sebab balik ke Kuching. Namun yang memeranjatkanku, ada seorang Pak Cik yang merupakan bekas tentera dan pernah bertugas di Sarawak. Lalu berlakulah dialog begini :
- Pak Cik : "Ustaz asal mana, Sarawak?"
- Aku : "Amba asal Lundu dalam bahagian Kuching."
- Pak Cik : "Ustaz tau tak di Sarawak ada Padang Arafah. Sohor dinu."
- Aku : "Dok tau pulok. Belah mana tu Pok?"
- Pak Cik : "Belah Sibu Ustaz. Askar-askar semenanjung bagi gelaran Padang Arafah. Situ dataran ja. Tapi hok sohor sampai orang dok gelar Padang Arafah tu sebab ramai sangat orang kupul situ, pasal "ayam" banyok Ustaz. Kebanyakannya pompuan Iban."
Lepas itu aku berlalu menuju ke kereta untuk makan malam bersama 3 jemaah masjid. Dalam perjalanan balik ke rumah, aku merasakan amat terhina dan meluat.
- 1. Kerana gelaran tempat aktiviti pelacuran tersebut diberi nama Padang Arafah oleh tentera-tentera Melayu dari Semenanjung yang beragama Islam.
- 2. Cerita tersebut seolah-olah menggambarkan begitu luasnya ruang untuk aktiviti pelacuran kerana di sekeliling Dataran tersebut banyak hotel-hotel yang menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan aktiviti tersebut. Dan katanya lagi, tiada gangguan dari mana-mana Pihak.
Bagaimana tergamaknya mereka menggelarkan dataran tersebut sebagai Padang Arafah, sedangkan sebagai orang yang beragama Islam sepatutnya mengetahui betapa besarnya perhimpunan manusia di sana yang memberi gambaran perkumpulan sekalian dari manusia di padang mahsyar kelak. Di Padang Arafahlah turunnya ayat terakhir dalam al-Quran.
Ketika Nabi sedang menunggang unta di Padang Arafah, tiba-tiba unta Nabi jatuh melutut kerana beratnya menanggung ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibrail kepada Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam."Pada hari ini telah Ku sempurnakan agamaKu bagi kamu, dan aku telah sempurnakan nikmatKu dan Aku redha Islam menjadi agama bagi kamu".
Kata Imam Ibnu Katsier : Oleh kerana Islam telah disempurnakan oleh Allah Ta'ala, maka sekali-kali Islam tidak berhajat kepada mana-mana penambahan dan mana-mana pengurangan dalam syaria'tNya.
Wallahu A'lam.
1:52 PM
Posted by
PERDIM MALAYSIA
Petang : 16 Feb : Aku mendapat sms mengatakan ibuku sedang dalam perjalanan ke Hospital Umum Kuching menggunakan ambulan dari Hospital Lundu, Sarawak. Entah mengapa, lidahku tiba-tiba kelu dan membisu. Lalu aku terus menghubungi ayahku yang ternyata sedang menemani ibuku di dalam ambulan. Kata ayahku, keadaan ibu kritikal kerana darah beku yang terdapat didalam otak ibuku. Setelah bercakap sepatah dua, aku memberi jaminan yang aku akan cuba sampai di Kuching malam hari tersebut atau selewat-lewatnya pagi keesokkannya. Tanpa berlengah lagi, aku memecut ke Airport Gong Badak, Terengganu dan membeli tiket ke Kuala Lumpur malam tersebut dan penerbangan seterusnya ke Kuching pada jam 7.25 am.
Malam tersebut aku dihantar ke airport oleh adik iparku Zali ditemani isteriku dan anak kesayanganku. Aku cuba tersenyum gembira di depan mereka namun hatiku diundang perasaan risau dan takut yang amat sangat. Di airport, aku bertembung dengan Dato' Mohd Jidin Shafie yang merupakan sepupu kepada isteriku. Aku bersalaman dan berbual-bual, namun ternyata tiada situasi yang dapat memadamkan kerisauan yang teramat sangat dilubuk hatiku. Seharian dan semalaman aku tidak mampu melelapkan mata, kerana aku hanya ingin cepat sampai. Aku cuba untuk tidur ketika menunggu penerbangan ke Kuching semalaman, namun mataku tidak juga terlelap walaupun aku ternyata begitu mengantuk dan letih.
Tiba di airport Kuching pada jam 9.10 am, selepas melalui pemeriksaan Imigresen, aku terus bergegas ke kaunter Teksi Airport. Sampai di pintu masuk utama Hospital ,ternyata ayahku sudah menunggu. Aku turun dari teksi dan bergegas bersalaman dan mencium tangan ayahku. Kelihatan wajah ayahku memberikan senyuman, senyuman tanda hatinya lapang melihat anaknya yang jauh di perantauan tiba.
Sampai disisi ibuku, ibuku memandang ke arahku agak lama tanpa mengeluarkan kata-kata. Aku cium dahi ibuku sambil mengusap-usap tangan ibuku. Kata ayahku, ibu menjalani operation selama 4 jam petang kelmarin dan baru sahaja sedar pagi tadi dan masih tidak mampu bersuara. Seharian lagi aku tidak tidur, saudara-mara ramai yang datang menziarahi. Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit kerisauan dihati.
Malam tersebut aku check-in di hotel bersebelahan Hospital, aku minta ayahku berehat di sana sementara aku dan adikku Avira menjaga ibu di wad. Namun ayahku enggan, dan aku mengalah dan terus ke hotel untuk berehat.
Hatiku sentiasa merintih dan merayu agar Allah S.W.T memberiku kesempatan untukku mengIslamkan kedua ibu bapaku. Situasi seperti inilah yang amat aku takuti, kerana kegagalan yang besar dalam hidupku sebagai seorang pendakwah agama, GAGAL mengIslamkan kedua ibu bapaku.
Justeru apa sebenarnya yang membuatkanku terlalu risau dan takut.
- 1. Aku amat takut jika ibuku pergi dalam keadaan beragama Kristian. Sebagai seorang anak, sudah tentu aku amat inginkan kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat buat ibuku. Kini, aku cuba berdakwah melalui perbuatan kerana amat sukar berdakwah melalui perkataan (ucapan) disebabkan ibuku amat taat dan mendalami ilmu agama Kristian.
- 2. Aku takut kalau-kalau ibuku meninggal dalam keadaan masih beragama Kristian, diakhirat esok, ibuku akan mendakwa aku kerana tidak menyampaikan dan menyeru beliau kepada Islam. Bagaimana agaknya keadaan aku ketika itu nanti?
Pada 2 tahun yang lepas, aku juga pernah bergegas pulang ke Lundu, apabila ayahku sakit dan terpaksa di tahan di wad Hospital Lundu. Alhamdulillah, Islam banyak mengajar aku erti pengorbanan seorang anak bagi membalas jasa kedua mereka. Sebelum memeluk Islam, aku tidak pernah mengambil berat soal kedua mereka bahkan langsung tidak mempedulikan mereka. Aku ingin buktikan kepada saudara-saudaraku bahawa persepsi mereka mengatakan aku masuk MELAYU adalah salah. Aku tetap berketurunan BIDAYUH dan ibu bapaku tetap ibu bapa yang telah melahirkan dan membesarkan aku.Pagi tadi aku menghubungi ibuku, ibuku mengingatkan aku agar sering menghubungi beliau. Seminggu sekali pun tak apa katanya. Dan pagi tadi, aku beroleh sesuatu yang amat berharga.
Ibu bapa tidak mengharapkan wang ringgit mahu pun harta benda di penghujung usia mereka, tetapi mereka mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari seorang anak seperti mana mereka memberikan perhatian dan kasih sayang kepada kita sewaktu kita kecil dahulu.
4:06 PM
Posted by
PERDIM MALAYSIA
Pagi tadi saya berkenalan dengan seorang sahabat yang berasal dari Sarawak. Juga berasal dari non muslim. Kacukan Cina Iban yang akhirnya menemui hidayah. Beliau bertugas di sebuah tempat penjagaan warga emas di Cheras. Katanya, beliau menjaga warga emas ini yang tidak dipedulikan oleh anak-anak mereka. Ramai sekali mereka Ustaz, katanya.
Dalam berbalas-balas mesej di facebook, saya teringat akan suatu peringatan yang amat penting untuk disampaikan kepada masyarakat hari ini. Ketika Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam menaiki anak tangga mimbar untuk membaca khutbah. Baginda tiba-tiba berhenti sejenak dan disusuli dengan bacaan, "Amin". Perlakuan Baginda diperhatikan dengan penuh kehairanan oleh para sahabat. Selesai menyampaikan khutbah, para sahabat bertanya kepada Baginda.
Lalu baginda menjawab : Aku mendengar Malaikat Jibril berdoa : "Ya Allah, Engkau celakakanlah mana-mana anak yang ketika mana masih hidup kedua ibu bapanya, tiba-tiba dia tidak berbuat baik kepada keduanya, lalu aku pun mengaminkannya".
Maka para ulama' mengatakan bahawasanya, inilah doa yang amat mustajab dan sekali-kali tidak ditolak oleh Allah Ta'ala kerana ia melibatkan dua orang makhluq yang mulia, hampir denganNya dan kedua-duanya merupakan Penghulu. Malaikat Jibril Alaihissalam merupakan penghulu bagi sekalian Malaikat dan Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam merupakan penghulu bagi sekian Nabi, Rasul dan Manusia.
Golongan seperti ini merasakan bahawa mereka telah terlepas dari azab kepayahan kerana menghantar ibu bapa mereka yang tidak berdaya ke pusat-pusat penjagaan orang tua. Namun hakikatnya, mereka hanyalah mengundang seribu satu kepayahan hidup di dunia dan azab akhirat sedang menunggu mereka. Alangkah terpedayanya mereka ini.
Wallahu A'lam.