Golongan Yang Celaka

Category:

Pagi tadi saya berkenalan dengan seorang sahabat yang berasal dari Sarawak. Juga berasal dari non muslim. Kacukan Cina Iban yang akhirnya menemui hidayah. Beliau bertugas di sebuah tempat penjagaan warga emas di Cheras. Katanya, beliau menjaga warga emas ini yang tidak dipedulikan oleh anak-anak mereka. Ramai sekali mereka Ustaz, katanya.

Dalam berbalas-balas mesej di facebook, saya teringat akan suatu peringatan yang amat penting untuk disampaikan kepada masyarakat hari ini. Ketika Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam menaiki anak tangga mimbar untuk membaca khutbah. Baginda tiba-tiba berhenti sejenak dan disusuli dengan bacaan, "Amin". Perlakuan Baginda diperhatikan dengan penuh kehairanan oleh para sahabat. Selesai menyampaikan khutbah, para sahabat bertanya kepada Baginda.

Lalu baginda menjawab : Aku mendengar Malaikat Jibril berdoa : "Ya Allah, Engkau celakakanlah mana-mana anak yang ketika mana masih hidup kedua ibu bapanya, tiba-tiba dia tidak berbuat baik kepada keduanya, lalu aku pun mengaminkannya".

Maka para ulama' mengatakan bahawasanya, inilah doa yang amat mustajab dan sekali-kali tidak ditolak oleh Allah Ta'ala kerana ia melibatkan dua orang makhluq yang mulia, hampir denganNya dan kedua-duanya merupakan Penghulu. Malaikat Jibril Alaihissalam merupakan penghulu bagi sekalian Malaikat dan Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam merupakan penghulu bagi sekian Nabi, Rasul dan Manusia.

Golongan seperti ini merasakan bahawa mereka telah terlepas dari azab kepayahan kerana menghantar ibu bapa mereka yang tidak berdaya ke pusat-pusat penjagaan orang tua. Namun hakikatnya, mereka hanyalah mengundang seribu satu kepayahan hidup di dunia dan azab akhirat sedang menunggu mereka. Alangkah terpedayanya mereka ini.

Wallahu A'lam.

Comments (0)