Ibu Bapa Anugerah Allah Ta'ala
Category: Muhasabah , Penyejuk Hati , Tazkirah
Petang : 16 Feb : Aku mendapat sms mengatakan ibuku sedang dalam perjalanan ke Hospital Umum Kuching menggunakan ambulan dari Hospital Lundu, Sarawak. Entah mengapa, lidahku tiba-tiba kelu dan membisu. Lalu aku terus menghubungi ayahku yang ternyata sedang menemani ibuku di dalam ambulan. Kata ayahku, keadaan ibu kritikal kerana darah beku yang terdapat didalam otak ibuku. Setelah bercakap sepatah dua, aku memberi jaminan yang aku akan cuba sampai di Kuching malam hari tersebut atau selewat-lewatnya pagi keesokkannya. Tanpa berlengah lagi, aku memecut ke Airport Gong Badak, Terengganu dan membeli tiket ke Kuala Lumpur malam tersebut dan penerbangan seterusnya ke Kuching pada jam 7.25 am.
Malam tersebut aku dihantar ke airport oleh adik iparku Zali ditemani isteriku dan anak kesayanganku. Aku cuba tersenyum gembira di depan mereka namun hatiku diundang perasaan risau dan takut yang amat sangat. Di airport, aku bertembung dengan Dato' Mohd Jidin Shafie yang merupakan sepupu kepada isteriku. Aku bersalaman dan berbual-bual, namun ternyata tiada situasi yang dapat memadamkan kerisauan yang teramat sangat dilubuk hatiku. Seharian dan semalaman aku tidak mampu melelapkan mata, kerana aku hanya ingin cepat sampai. Aku cuba untuk tidur ketika menunggu penerbangan ke Kuching semalaman, namun mataku tidak juga terlelap walaupun aku ternyata begitu mengantuk dan letih.
Tiba di airport Kuching pada jam 9.10 am, selepas melalui pemeriksaan Imigresen, aku terus bergegas ke kaunter Teksi Airport. Sampai di pintu masuk utama Hospital ,ternyata ayahku sudah menunggu. Aku turun dari teksi dan bergegas bersalaman dan mencium tangan ayahku. Kelihatan wajah ayahku memberikan senyuman, senyuman tanda hatinya lapang melihat anaknya yang jauh di perantauan tiba.
Sampai disisi ibuku, ibuku memandang ke arahku agak lama tanpa mengeluarkan kata-kata. Aku cium dahi ibuku sambil mengusap-usap tangan ibuku. Kata ayahku, ibu menjalani operation selama 4 jam petang kelmarin dan baru sahaja sedar pagi tadi dan masih tidak mampu bersuara. Seharian lagi aku tidak tidur, saudara-mara ramai yang datang menziarahi. Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit kerisauan dihati.
Malam tersebut aku check-in di hotel bersebelahan Hospital, aku minta ayahku berehat di sana sementara aku dan adikku Avira menjaga ibu di wad. Namun ayahku enggan, dan aku mengalah dan terus ke hotel untuk berehat.
Hatiku sentiasa merintih dan merayu agar Allah S.W.T memberiku kesempatan untukku mengIslamkan kedua ibu bapaku. Situasi seperti inilah yang amat aku takuti, kerana kegagalan yang besar dalam hidupku sebagai seorang pendakwah agama, GAGAL mengIslamkan kedua ibu bapaku.
Justeru apa sebenarnya yang membuatkanku terlalu risau dan takut.
- 1. Aku amat takut jika ibuku pergi dalam keadaan beragama Kristian. Sebagai seorang anak, sudah tentu aku amat inginkan kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat buat ibuku. Kini, aku cuba berdakwah melalui perbuatan kerana amat sukar berdakwah melalui perkataan (ucapan) disebabkan ibuku amat taat dan mendalami ilmu agama Kristian.
- 2. Aku takut kalau-kalau ibuku meninggal dalam keadaan masih beragama Kristian, diakhirat esok, ibuku akan mendakwa aku kerana tidak menyampaikan dan menyeru beliau kepada Islam. Bagaimana agaknya keadaan aku ketika itu nanti?
Pagi tadi aku menghubungi ibuku, ibuku mengingatkan aku agar sering menghubungi beliau. Seminggu sekali pun tak apa katanya. Dan pagi tadi, aku beroleh sesuatu yang amat berharga.
Ibu bapa tidak mengharapkan wang ringgit mahu pun harta benda di penghujung usia mereka, tetapi mereka mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari seorang anak seperti mana mereka memberikan perhatian dan kasih sayang kepada kita sewaktu kita kecil dahulu.
Saya telah membaca tulisan ini beberapa kali.Setiap kali saya merasa letih & penat menjaga ibu yang telah lanjut usia, saya akan mencari article2 sebegini untuk dibaca & mencari kekuatan darinya. Pernah mendengar mutiara kata dari radio IKIM.....jangan menanggap menjaga ibubapa itu sebagai satu tanggungjawab tapi anggaplah ia sebagai suatu anugerah. Bukan semua orang dapat melihat ibubapa sampai ke usia tua mereka...ada yang kehilangan ibubapa sejak kecil.
Assalamualaikum ...
Ain juga berbangsa Bidayuh, dan diharapkan dapat berhubung dengan brother secara peribadi tentang bagaimana untuk melalui kehidupan ini yang penuh dengan ujian dariNYA dari pelbagai sudut seperti keluarga, pekerjaan & sosial....sila add saya di Facebook nur.ain.abdullah@gmail.com