Erti Penyaksian Seorang Hamba
Category:
Subahanallah... hati ini terlalu unik. Terkadang tenang, terkadang gelisah dan terkadang kosong tidak terisi. Terkadang hati kita dilukai...bunyinya kedengaran seperti luahan kekecewaan yang terbit dari hati yang teramat...teramat dalam. Justeru bagaimana hendak menghadapi situasi ini? Yakinlah di sana ada hikmah tersembunyi walau pun hati ini sering dilukai...setiap insan menginginkan dirinya dicintai...dihargai...rasa bahagia, kerana ianya perasaan yang lahir dari lubuk hati setiap insan secara fitrah. Inilah yang dinamakan impian. Impian bagi setiap individu atau pasangan kerana impian itu juga salah satu kejadian Allah yang kita perlu tahu, sedar dan rasai.
Sedarilah..setiap impian itu Allah pasti lingkari dan rintangi dengan pelbagai ujian dan cabaran. Sahutlah cabaran untuk menempuhi ujian dan cabaran itu dengan penuh keyakinan. Yakin kerana kita memiliki syaria't TERBAIK di muka bumi. Yakin kerana kita memiliki kitab TERBAIK sebagai panduan dan rujukan. Yakin kerana Nabi dan Rasul akhir zaman yang di utuskan kepada kita adalah utusan TERBAIK. Yakin bahawa kita adalah umat TERBAIK. Justeru, mengapa kita tidak yakin untuk terus mendaki ke puncak impian? Bukankah kita memiliki impian TERBAIK di sisi Allah selaku individu Muslim.
Yakinlah..di sebalik kelukaan itu Allah telah menjanjikan kebahagiaan buat kita. Kerana Allah itu Maha Adil. Ujian dan dugaan itu adalah petunjuk semulajadi dari Allah untuk menarik kita mendekatkan diri kepada-Nya. Subahanallah...ujian dan dugaan itu terlalu manis dan indah, andai saja kita menyedari dan merasainya. Berbaik sangkalah dengan Allah...kebahagiaan sudah disediakan dan ditakdirkan Allah buat kita. Yakinlah...suatu hari nanti kita kan bertemu dengan insan yang mencuri hati kita...menyintai..menghargai..merindui kita dengan sepenuh hati. Yang pasti, dia berkongsi impian seperti kita.
Lupakan kelukaan dan ubati ia dengan menanam rasa syukur dan sabar. Syukur kerana masih ada insan yang menyayangi kita di sebalik hati yang telah dilukai. Sabar kerana Allah menjanjikan pahala yang tidak terkira dan kemenangan. Yang pasti..Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang sabar dikala dia diuji.
Mari analisis pengalaman hidup saya dengan penuh keinsafan....
Pengalaman pertama :
Ketika di awal keislaman saya. Saya mengambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di Negeri Kelantan. Perjalanan pada malam tersebut hanyalah bertemankan keyakinan bahawa Allah telah memilih saya untuk menerima hidayah Islam dan yakin Allah akan mempermudahkan segala urusan saya. Perjalanan ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur, bumi yang tidak pernah saya jejaki dan tiada siapa yang saya kenali. Menjejakkan kaki pada waktu subuh...Alhamdulillah, saya mengucap dua kalimah syahadah dan di pertemukan dengan seorang lelaki beriman lagi taat dalam kehidupan beragama. Yang pasti Beliau amat menyayangi dan menghargai saya walaupun saya berlainan bangsa tetapi berkongsi agama dan IMPIAN mencari keredhaan Allah.
Pengalaman Kedua :
Ketika saya belajar di sebuah " pondok ", makanan harian saya hanyalah nasi putih berlaukkan ikan bilis masak sambal berharga RM 1. Sesekali di tambah telur goreng. Kalau makan sedap pun..tatkala ada jemputan tahlil, cukur kepala bayi dan lain2. Hampir setahun saya belajar dalam keadaan tiada duit belanja. Sekali sekali sahaja dapat derma dari orang perseorangan. Itu pun habis untuk membeli buku, sabun,ubat gigi dan barang2 keperluan lain.
Di sebalik kesempitan itu, saya sentiasa tanamkan keyakinan dalam diri saya. Yakin Allah telah menyediakan kelapangan kepada saya suatu hari nanti. Subahanallah...hari ini keyakinan itu ternyata terbukti. Setiap kali mendapat jemputan ceramah,forum dan lain2...hidangan istimewa disediakan kepada saya. Allah membalasnya berkat sabar dan syukur.
Walaupun kini bergelar pendakwah bebas,jadual yang padat dengan kuliah mingguan, ceramah jemputan, program pelajar sekolah mahu pun seminar...saya masih seperti ketika saya belajar dalam serba serbi kekurangan dahulu. Di rumah jika tiada jemputan ceramah, saya lebih senang menikmati makan tengah hari berlaukkan sup telur atau telur goreng sahaja bercampur kicap.
Berbicara soal cinta...cinta adalah sesuatu yang indah. Kerana cinta itu bermula di syurga. Cinta lahir dari hati tiap-tiap manusia secara fitrah. Allah menjadikan rasa cinta di dalam penciptaan manusia, namun Allah juga menjadikan perasaan benci. Allah yang menciptakan dan menghidupkan Nabi Adam a.s, justeru Allah jualah yang amat memahami kesunyian Nabi Adam. Cinta adalah perasaan yang lahir dari lubuk hati secara fitran untuk merasa sedikit dari nikmat hidup. Nikmat berkasih sayang, rindu, dihargai dan nikmat berkeluarga.
Namun disebalik keindahan cinta, terselit dan tersembunyi seribu satu kedukaan dan kekecewaan. Mengapa terjadi begitu ya? Kerana kita tidak belajar dari peristiwa percintaan antara Nabi Adam dan Siti Hawa. Lantaran dari menurut kata-kata Siti Hawa kerana cinta yang mendalam, akhirnya Nabi Adam yang telah sekian lama menghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan telah di keluarkan dari syurga. Semuanya bermula dari pujuk rayu hamba Allah bernama Iblis. Tidak secukup setakat itu, Iblis terus merencanakan tipu daya sehingga berlakunya pembunuhan pertama di muka bumi. Pembunuhan yang tragis, antara saudara kandung sendiri. Juga kerana cinta. Tipu daya itu akan berkekalan sehingga hari kiamat.
Memasuki alam percintaan sememangnya indah. Di sebalik rasa cinta yang mendalam, lahir pula keinginan untuk beroleh kebahagiaan. Keinginan itu di namakan impian...impian setiap individu mahu pun pasangan. Impian juga lahir dalam jiwa tiap-tiap individu secara fitrah. Namun, mengapa tatkala pasangan selamat diijab kabulkan, impian itu menjadi pudar. Lebih dahsyat lagi pabila ianya berkecai sama sekali. Mengapa ini berlaku ya..?
Mari kita analisis bersama dengan penuh keinsafan...
1. Pasangan tidak mempunyai matlamat hidup dan hubungan yang jelas. Matlamat hidup seperti yang di katakan oleh Sheikh Idris al-Marbawi : " Hidup semata-mata untuk hidup". Hidup yang sekadar memiliki kerjaya, kediaman, kenderaan, kemewahan dan hiburan. Lupakan tentang dosa atau pahala, azab atau nikmat, syurga atau neraka. Yang penting muda cuma sekali, so...kita enjoy...( ucapan pelakon utama sitcom bersiri PUTERI ). Perlu anda tahu dan sedar,matlamat hidup akan mencorakkan pemikiran, pemikiran akan melakarkan strategi dan strategi akan melakarkan tindakan.
2. Pasangan terlalu mengambil mudah dalam masalah agama. Akibatnya, iman semakin tipis. Taqwa jauh sekali. Konflik yang berlaku dalam setiap pasangan tidak dilihat melalui sudut agama. Maka syaitan beraja di hati. Bgaimana syaitan mampu menwan hati anda? Kerana aqal fikiran anda merupakan bendahara atau penasihat kepada raja. Salah memilih penasihat...durjanalah akibatnya!
3. Pasangan memilih role model yang salah. Role model yang berjaya dalam serba serbi kehidupan, tetapi menjauhi kehidupan beragama. Agama hanya diamalkan pada waktu dan tempat tertentu sahaja. Berapa ramai dari kalangan selebriti popular tanah air yang mengikut cara hidup selebriti barat sama ada melalui fesyen, ucapan, pemikiran hatta melibatkan perkahwinan. Akhirnya kebahagiaan mereka ternoktah jua, walau pun suatu ketika dulu di uar-uarkan di media massa bahawa merka adalah pasangan selebriti yang paling bahagia. Bahkan pernah di labelkan sebagai pasangan artis paling...paling...bahagia dan ideal. Akhirnya mereka bercerai jua.
Mungkin ada yang bertanya : " Bukankah jodoh itu ditangan Tuhan?"
Aneh yaa...di ketika kita hidup sebagai suami isteri dalam keadaan menjauhi cara hidup Islam, tatkala kita bercerai...tiba-tiba kita menggunakan ketentuan Allah sebagai alasan. Mudah sekali jawapannya. Apakah Allah tidak mengajar dan mendidik kita bagaimana memilih pasangan, melayari bahtera rumah tangga dan jalan penyelesaian terhadap apa jua persengketaan? Mudah sekali kita menjawab...seolah-olahnya kita telah meletakkan Allah di belakang. Pemilihan pasangan sahaja sudah jauh dari kehendak Allah, cara hidup berkeluarga pun jauh dari syaria't Islam dan jalan penyelesaian pun tidak merujuk kepada kaedah Islam.
Ia hanyalah jawapan dari orang yang dungu lagi berfikiran celaru.
Umpama seorang penguatkuasa yang menahan seorang wanita kerana kesalahan melacur. Penguatkuasa tersebut bertanya : " Mengapa awak melakukan pekerjaan terkutuk ini?"
Maka si pelacur pun menjawab: " Nak buat macam mana, ini ketentuan Allah buat diri saya?"
Mengapa mudah kita menjawab begitu. Bukankah Islam itu membawa syaria't yang lengkap lagi sempurna. Syaria't atau syari'ah berasal dari kata dasar syari' yang memberi makana jalan seperti mana thari". Maka syaria'h memberi makna jalan agama. ( menurut Kitab bahrul Mazi )
Justeru itu, apakah kebahagiaan sebenar menurut perspektif Islam. Mari kita analisis bersama...
1. Suami dari kalangan orang yang soleh
2. Isteri dari kalangan orang yang solehah
3. Anak-anak dari kalangan anak yang soleh dan solehah
4. Sahabat-sahabat ( kenalan rapat ) dari kalangan lelaki dan wanita yang soleh dan solehah
5. Rezeki dari sumber yang halal semata-mata
Keliru dalam memahami kebahagiaan di dalam sesebuah keluarga Muslim adalah kerana melihat dari sudut pandangan barat yang telah merosakkan permikiran mereka. Bagaimana ya?
1. Suami isteri yang mempunyai kerjaya yang baik
2. Kediaman yang serba-serbi lengkap
3. Memiliki beberapa buah kenderaan
4. Mempunyai simpanan atau pelaburan di institusi kewangan
5. Anak-anak berjaya dalam pelajaran dan memiliki kerjaya yang baik
6. Sekali sekala di hujung minggu dan cuti umum, mampu bercuti di dalam atau luar negara.
Inilah kebahagiaan yang dinilai mengikut acuan orang-orang kafir. Acuan ini mula tersebar dan dari hari ke sehari, ia mula bertapak di kebanyakan institusi kekeluargaan Islam. Semuanya bermula dari matlamat hidup individu yang tidak jelas, kemudian di bawa ke institusi kekeluargaan, masyarakat dan seterusnya ke peringkat negara. Natijahnya...kerosakkan dalam masyarakat Islam semakin parah di setiap peringkat usia dan profession.
Siri Kuliah Ke-2 :
Pagi ini, saya terbaca satu artikel tentang seorang bekas Paderi Gereja Katholik Roman di Britain yang telah memeluk Islam lantaran dari hati yang tertarik dengan solat yang didirikan oleh umat Islam. Sebelum ini, Idris Tawfik juga mengenali Islam seperti kebanyakan rakyat Britian yang lain. Sudah semestinya media yang mempermainkan peranan yang amat besar dalam memburuk-burukkan Islam.
Perhatikan dan renungilah dengan mendalam kata-kata Beliau:" Tetapi apabila saya berada di bumi Mesir, saya mendapati agama ini sungguh cantik. Saya amat tertarik melihat para peniaga yang memenuhi jalan-jalan meninggalkan jualan mereka begitu saja untuk berhenti, menghadap Allah dan menunaikan solat sejurus mereka mendengar azan dilaungkan dari puncak-puncak menara masjid.
Cara mereka segera menunaikan solat itu seolah-olah bukan sahaja mereka mengakui kewujudan Allah, malah mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu Tuhan mereka".
Pada pertengahan tahun 2002, ketika masih bekerja di Sunway Pyramid, saya terlibat dalam gangsterism, kaki pub dan disko. Ketika saya benar-benar dihimpit pelbagai masalah. Suatu pagi ketika balik dari disko, saya cuba melelapkan mata setelah meminum arak demi untuk melupakan masalah dan mencari ketenangan. Namun ia tetap berlegar-legar dalam fikiran saya bahkan wajah ibu, ayah dan adik-adik di kampung membuatkan saya semakin tidak keruan. Dalam keadaan seperti itulah azan subuh berkumandang dari masjid yang terletak tidak jauh dari apartment yang saya duduki. Itulah permulaan hati saya terbuka untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.
Kerana azan pertama tersebut membuatkan hadirnya perasaan damai dan tenang yang tidak pernah saya miliki sebelum itu walaupun tidak saya fahami maksud kalimah azan tersebut. Selesai seruan azan tersebut saya menangis seperti anak kecil didalam bilik saya kerana mengenangkan ibu bapa dan adik-adik yang tidak pernah saya ambil peduli setelah saya berhijrah ke Semenanjung dari Sarawak. Hati saya memohon agar Tuhan memberikan saya petunjuk untuk berubah dari kehidupan yang penuh dengan sosial. Itulah kali pertama saya menangis sperti anak kecil dan kali kedua saya menangis sperti anak kecil adalah ketika saya difitnah semasa saya dalam proses mendalami ilmu agama.
Ucapan Saudara Idris Tawfik ini benar-benar membuatkan saya sebak kerana saya sendiri menemui hidayah dari Allah Ta'ala melalui pembacaan dalam bab solat. Pada suatu ketika, saya telah terbeli sebuah buku berjudul PEMBERSIH KALBU, karya Imam al-Ghazali. Ketika membaca bab solat yang menceritakan tentang didikan ataupun rahsia Allah dalam solat. Saya merasakan suatu perasaan yang hadir dalam diri saya yang amat sukar untuk saya jelaskan.
Pembacaan demi pembacaan dan renungan demi renungan membuatkan saya yakin bahawa solat cara Islam adalah formula terbaik untuk mengenali diri dan al-Khaliq. Bahkan dengan Islam sahajalah saya mampu mengubah liku-liku perjalanan hidup saya. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah. Hari ini saya bangkit dari kehidupan di alam jahiliyyah kepada Islam.
Saiydina Umar al-Khattab pernah menyebut dalam kata-katanya yang mahsyur :
"Sesungguhnya ikatan yang ada pada Islam akan terungkai satu demi satu,apabila munculnya dari kalangan umat Islam,yang mana mereka ini tidak kenal apa itu jahiliyah.
Allahu Akbar!!! Pengalaman hidup di alam jahiliyyah banyak mengajar saya erti menghargai dan mensyukuri nikmat Iman dan Islam. Daripada berbilion masyarakat bukan Islam di atas muka bumi ini, Allah memilih Saudara Idris Tawfik dan saya untuk menyusuri jejak langkah orang-orang yang beriman kepadaNya.
Benarlah firman Allah Ta'ala:
"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah, akan diberiNya hidayah,lalu dilapangkan dadanya untuk menerima Islam".
Abdullah Ibnu Mas'ud bertanya akan Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam: "Apakah yang dimaksudkan dengan dilapangkan dada itu Ya Rasulullah? Jawab Baginda: "Cahaya (hidayah) di masukkan kedalam hatinya".
Sehingga kini, dalam kuliah mahupun ceramah saya sering menekankan dalam masalah didikan dan rahsia Allah dalam solat. Begitu juga penekanan dalam memahami dan menghayati ta'rif mendirikan solat dengan menunaikan solat. Hari ini, umat Islam kebanyakannya menunaikan solat, mereka sebenarnya belum lagi mendirikan solat. Tanyalah apa rahsia Allah ketika ketika lurus dan rapatkan saf, ketika kita bertakbir untuk memulakan solat, ketika kita qiyam dalam keadaan menghadap qiblat, memandang tempat ruku', sujud dan lain-lain lagi. Pasti ramai yang tidak mengetahuinya.
Bagaimana kita hendak mendabik dada mengaku kita telah mendirikan solat. Allahu Ya Rabbi...
Kata Idris Tawfiq lagi: "Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 dalam Surah al-Maidah yang bermaksud:
"Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah,engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan mereka mengetatahui (dari Kitab mereka) akan kebenaran (al-Quran)"
Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindunginya daripada dilihat oleh anak murid saya".
Sebelum daripada itu, Beliau telah membaca ayat ke 82.
Begitu hebatnya ayat-ayat Allah Ta'ala sehingga mampu menggetarkan hati manusia, mampu mengalirkan air mata manusia bahkan mampu melembutkan hati manusia yang keras.
Siri Ke-3 :
Pagi ini selepas menyampaikan ceramah di LHDN Kuala Terengganu, dalam perjalanan balik ke rumah, saya dikejutkan dengan mat-mat motor yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah menengah yang berkonvoi dengan mempamerkan pelbagai aksi smbil mmbonceng pelajar-pelajar prempuan. Kumpulan ini terdiri daripada tidak kurang dari 50 buah motor. Benarlah kata sahabat saya dua hari lepas, sambutan hari guru akan disambut dengan aksi motor peljar-pelajar SMK.
Melihat kepada situasi ini, saya teringat suatu peristiwa dimana Ibnu Mas'ud bertanya kepada sahabat-sahabatnya.
"Bagaimana agak-agaknya keadaan kalian ktika hidup dalam satu zaman dimana fitnah ini berlaku dengan amat dahsyat sekali?" Maka Ibnu Masu'd sendiri menjawab: "Zaman dimana orang-orang tua ramai yang nyanyuk (yahramu).
Nyanyuk disisi agama adalah apabila dari kalangan orang-orang tua tidak tahu membezakan antara al-Haq dengan yang Bathil. Ataupun lebih mudah dari kalangan ibu bapa yang membiarkan anak-anak keluar dari rumah dlm keadaan tidak menutup aurat yang sempurna. Begitu juga ibu bapa yang menumpukan perhatian pada pelajaran seperti math, science, english dan lain-lain, dalam masa yang sama tidak memberi penekanan dalam aspek pendidikan agama.
Ibu bapa sanggup membawa anak-anak melancong diserata negeri mahupun luar negara namun tidak pernah membawa anak-anak ke rumah-rumah Allah dalam usaha untuk menanamkan kecintaan kepada rumah-rumah Allah.Katanya lagi: "Zaman dimana anak-anak muda rosak binasa".
Saya tidak menyalahkan anak-anak muda sama sekali dalam masalah ini. Tetapi runtuhnya institusi kekeluargaan Islam adalah berpunca daripada pemimpin dalam sesebuah keluarga itu sendiri. Saya sering menyebut dalam kuliah saya, hari ini masyarakat Islam mengetahui bahawa bahagianya sesebuah keluarga itu berdasarkan kepada kukuhnya sistem kewangan, ada kereta, ada rumah yang bagus, anak-anak berjaya belajar diuniversiti dan pekerjaan yang menjamin masa depan.
Dalam erti kata lengkap dari soal material. Ingat!!! Konsep sesebuah keluarga Islam adalah apabila ia memenuhi ciri-ciri berikut:
1. Ayah, dari kalangan orang yang soleh
2. Ibu, dari kalangan orang yang solehah
3. Anak-anak, dari kalangan yang soleh & solehah
4. Mempunyai sahabat-sahabat dari kalangan orang yang soleh & solehah
5. Rezeki, dari sumber yang halal.
Lima ciri-ciri ini adalah bahagianya sebuah keluarga Islam menurut perspektif Islam. Jangan menilai kebahagiaan melalui fahaman sekular seperti yang saya jelaskan diatas. Maka, ibu bapa adalah pemain peranan yang amat penting dalam membentuk sebuah keluarga Islam.
Sabda Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam:
"Sesungguhnya anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih umpama kain putih), lalu ibu bapanya yang mencorakkan mereka samaada menjadi pengikut agama yahudi, nasrani mahupun majusi (penyembah api)."
Mungkin ibu bapa alpa dalam memberikan pendidikan agama secara menyeluruh kepada anak-anak kerana tidak memahami dan menyedari bahawa anak-anak itu adalah amanah yang dipikulkan bebanannya kepada mereka.
Nabi bersabda:
"Bermula fitnah (kebinasaan) pada seorang laki-laki adalah pada ahli keluarganya (isterinya), hartanya, anak-anaknya dan pada jirannya".
Dalam suatu hikayat, diceritakan bagaimana seorang soleh bermimipi melihat roh-roh orang Islam (di alam barzakh) ini berebut-rebut mendapatkan pahala hasil daripada doa umat Islam yang hidup. Dalam ramai-ramai yang sedang berebut-rebut pahala tersebut, ada sepasang suami isteri yang tidak berebut seperti orang lain. Selepas beberapa malam bermimpi yang sama, tiba-tiba beliau melihat suami isteri ini berebut pahala seperti mana orang lain. Apabila beliau menyiasat, rupanya-rupanya sebelum daripada itu, suami isteri ini meninggalkan seorang anak yang soleh, yang mana pahala sentiasa berterusan diperolehi oleh pasangan ini hasil daripada amalan-amalan soleh yang dilakukan anaknya ketika masih hidup.
Kisah ini sepatutnya sudah cukup untuk memberi motivasi kepada kita dalam membuat persediaan sebelum daripada kematian kita. Sungguh, perjalanan kita menuju kehidupan yang kekal abadi amat panjang dan jauh, tetapi kematian itu adalah amat dekat kerana kata Imam al-Ghazali:
"Setiap yang pasti (berlaku) itu maka dekat jua dengan kita."
Bilakah kita hendak mulai melakukan persediaan tersebut. Allahuakbar!
Renung-renungkanlah...
© All Rights Reserved. Mualaff al-Bidayuhi Theme by : khadim ilmi | Converted into Blogger Templates by Theme Craft