Jangan Ditangisi Masa Lalu
Category:
Mengingati masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan yang bodoh dan gila. Mengapa? Kerana ia boleh mematikan keinginan dan membinasakan masa depan seseorang. Bagi orang yang cerdik, kenangan yang melibatkan kekecewaan, kesedihan dan kegagalan sepatutnya dilipat dan disimpan sahaja, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung didalam penjara kelupaan. Sedalam mana pun kesedihan kita tatkala mengingati kisah lalu, ia tidak mungkin kembali, di ubah atau diperbaiki kerana ia adalah sesuatu yang telah berlalu dan tiada.
Tetapi tidak salah juga, andai kita mengingat kembali masa lalu. Jadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar yang bermanfaat bagi diri dan sekalian orang yang tersayang. Bukankah Nabi s.a.w mengingatkan kita : " Orang yang beriman, sekali-kali tidak akan masuk ke dalam lubang biawak ( kebinasaan )sebanyak dua kali." Mengingati kembali justeru bersedih dan menanggisi kisah lalu, boleh saja di umpamakan sebagai menghumban diri ke dalam lubang biawak yang telah pun dimasuki tanpa kerelaan. Namun tekadkan dalam diri, kenangan masa lalu bukan untuk di tanggisi, tetapi untuk diambil pengajaran dan iktibar agar kita tidak mengulanginya.
Lebih menakutkan dengan perbuatan kita yang sering bersedih dan menangisi masa lalu itu, membuatkan kita lupa, tidak bersedia dan berusaha untuk mendepani masa kini. Puncanya, hilang keyakinan diri lantaran terkongkong dengan masa lalu. Di ketika orang lain berjalan terlalu jauh ke hadapan, tiba-tiba kita masih berdiri di tempat yang sama dan berpatah balik ke garisan permulaan. Sedangkan garisan kemenangan di hadapan. Aneh yaa...tetapi ianya benar!
Ingatlah..manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, kerana kehidupan di hadapan kita adalah pasti. Kebahagiaan hakiki yang kita impikan berada di hadapan! Bukan di masa lalu! Kita telah pun melalui dua alam, alam roh dan alam kandunagan. Kini kita sedang berada di alam dunia. Terlebih baik kita melihat perjalanan dan nasib kita di alam seterusnya, alam barzakh, alam mahsyar dan alam akhirat.
Yakinlah, setiap kesedihan dan kecewaan itu jika kita hadapi dengan sabar dan redha, Allah akan menyediakan kesudahan yang terbaik kepada kita. Bukankah kita mempunyai kitab terbaik, Nabi dan Rasul kita juga dalah utusan terbaik, agama kita adalah agama tebaik, kita adalah umat terbaik? Mengapa kita tidak meyakini bahawa janji Allah adalah janji terbaik?
Melangkahlah kehadapan bersama tuntunan terbaik yang Allah sediakan buat kita. Kegagalan, kekecewaan dan kesedihan itu jadikan sebagai motivasi untuk kita terus bergerak kehadapan. Ianya terlalu indah dikala kita melepasi ujian tersebut. Tetapi menjadi mimpi buruk dikala kita terus dihantuinya.
Comments (0)
Post a Comment