SELAWAT DAN MENGAMALKAN SUNNAH TANDA KECINTAAN KEPADA RASULULLAH
Saban tahun umat Islam menyambut kedatangan Maulidurrasul dengan pelbagai program. Di peringkat apa sekali pun, mereka membuat sambutan Maulidurrasul dengan pelbagai ragam. Yang paling ketara ialah berselawat mengelilingi kampung, sekolah mahupun stadium dan sebagainya. Memerhatikan gelagat-gelagat mereka ini membuatkan saya tersenyum. Saya sendiri sering terlibat sama ada sebagai tetamu undangan mahupun penceramah menyatakan betapa besar pengertiannya mengingati akan Rasulullah.
Persolannya, adakah cukup dengan program setahun sekali tersebut, atau cukupkah dengan memanggil penceramah dan berselawat keliling kampung, sekolah mahupun stadium bagi peringkat negeri atau kebangsaan.
Jangan terpedaya atau menipu diri kita sendiri ketika kita menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai program yang kita laksanakan. Apa yang paling penting sekali adalah memberi kefahaman tentang rahsia kebangkitan Rasulullah di Kota Mekah dan rahsia Rasulullah dibangkit dalam bangsa Arab, rahsia Rasulullah dibangkitkan ditengah-tengah peradaban yang kondisinya amat parah. Rahsia 13 tahun Rasulullah berdakwah di kota Mekah dan rahsia kita berselawat keatas Rasulullah. Justeru apakah rahsia kita mengikuti sunnah Rasulullah???
Penekanan-penekanan terhadap perkara di atas sudah tidak diterapkan kepada masyarakat, institusi pendidikan, institusi kekeluargaan dan pelbagai institusi lain yang akhirnya kita mengaku sebagai ahlus sunnah wal jamaah, tetapi kita sebenarnya menyimpang dari jalan tersebut kerana tidak mengetahui rahsia atau didikan Allah Subhaanahu Wata'ala dalam perjalanan hidup junjungan besar kita Rasulullah Sollalahu A'laihi Wasallam. Tidak keterlaluan jika saya katakan, dalam kita menyambut Maulidurrasul, berlaku juga penghinaan kepada Rasulullah.
KECINTAAN DAN KERINDUAN RASULULLAH TERHADAP UMATNYA
Suatu malam, ketika Saidatina Ai'syah Radhiallahu A'nha terjaga dari tidur, didapatinya Rasulullah tiada ditempat tidur baginda. Kerana risau, dia keluar mencari di rumah Siti Fatimah Radhiallahu A'nha. Ternyata Rasulullah tidak berada disana, lalu mereka bersama Saidina Ali Karramallahu Wajhah, Hassan dan Hussin Radhiallahu A'nhuma keluar mencari Rasulullah di sekitar kota Madinah. Puas mereka mencari tetapi tidak juga mereka temui, lalu mereka pergi ke Baqi' (tempat perkuburan), dan disitu mereka terlihat suatu cahaya yang terpancar dari tanah kuburan tersebut. Mengetahuilah akan mereka bahawa cahaya itu adalah datangnya dari Rasulullah.
Ketika menghampiri Rasulullah, ternyata Baginda sedang sujud ditanah perkuburan tersebut dalam keadaan menangis. Dan dalam sujud Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam itu, Baginda bermunajat kepada Allah Ta'ala: "إن تعذبهم فإنهم عبادك وإن تغفرلهم فإنك أنت العزيز الحكيم" Maksudnya : Kalau sekiranya Kamu menyeksa akan mereka, maka mereka sesungguhnya adalah hambaMu, dan sekiranya Kamu mengampunkan akan mereka, maka sesungguhnya Kamu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Inilah suatu rintihan hati seorang manusia Agung yang sentiasa menginginkan keselamatan bagi umatnya. Ternyata Rasulullah sujud dalam keadaan menangis kerana mengenangkan umatnya yang sedang berhadapan dengan pertanyaan dan penyeksaan dari malaikat Munkar dan Nakir.Besarnya kecintaan Rasulullah kepada umatnya. Dan kata Rasulullah kepada Siti Ai'syah Radhiallahu A'nha: "Bantulah aku dengan bersujud (فاسجدوا) dan berdoa (وادعوا) dan merendahkan diri (وتضرعوا). Lalu sujudlah sekalian dari keluarga Rasulullah itu sehingga fajar terbit.
Diceritakan ketika Rasulullah sedang nazak. Lalu datanglah Malaikat Maut untuk mencabut roh Baginda. Setelah meminta izin dan dibenarkan masuk menemui Rasulullah, lalu Baginda bertanya kepada Malaikat Maut: "Dimanakah kamu tinggalkan Malaikat Jibril?". Malaikat Maut menjawab: "Aku tinggalkan Jibril di langit dunia". Lantas Rasulullah meminta Malaikat Maut memanggil Malaikat Jibril untuk bertemu dengan Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam. Ketika Malaikat Jibril berhadapan dengan Rasulullah, lalu Rasulullah berkata: "Terangkan bagaimanakah haq aku dihadapan Allah Ta'ala". Jawab Jibril: "Seluruh pintu syurga dan pintu langit telah dibuka dan malaikat berbaris menunggu untuk mengiringi rohmu Ya Rasulallah". Ternyata Rasulullah tidak menunjukkan riak wajah yang gembira. Lalu Rasulullah berkata lagi: "Terangkan bagaimanakah haq umatku dihadapan Allah kelak". Jawab Jibril: "Firman Allah Taa'la kepada Malaikat Jibril A'laihissalam, syurga telah diharamkan dari dimasuki lain-lain umat melainkan sekalian umatmu telah memasukinya". Mendengar yang demikian itu membuatkan Nabi tersenyum dalam keadaan kesakitan disaat-saat akhir hayat Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam.Begitu hebatnya kecintaan Rasullah kepada umatnya yang tidak mampu digambarkan dalam kotak pemikiran saya, melainkan titisan air mata tanda merindui dan mengasihi Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam. Titisan air mata ini hasil dari istiqamah dalam berselawat dan mengikuti sunnah Rasulullah sekadar termampu telah menggoncangkan hati anak-anak muridku sehingga mereka turut menitiskan air mata. Betapa ketika itu hadirnya perasaan rindu yang mendalam kerana suatu ketika Rasullah pernah menitiskan air mata dihadapan para Sahabat. Lalu seorang sahabat bertanya: "Kenapa kamu menangis yaa Rasulullah?". Jawab rasulullah: "Aku menangis kerana merindui saudara-saudaraku." Sahabat bertanya lagi: "Bukankah kami ini saudaramu Ya Rasulullah?". Jawab Rasulullah: "Bukan, kamu adalah sahabatku, saudara-saudaraku adalah mereka yg beriman kepadaku dan menuruti sunnahku dalam keadaan mereka tidak melihat (bertemu) denganku".
Ketika Rasulullah dalam keadaan menghadapi sakaratul maut yang diumpamakan kesakitan seperti seribu tikaman pedang, Rasulullah memohon kepada Allah Ta'ala agar semua kesakitan yang ditimpakan keatas umatnya ditimpa keatas diri Baginda. Ketika roh Baginda diakhir-akhir pemisahan dari jasad, Baginda menyebut: "أمتي...أمتي...أمتي" (Umatku sebanyak tiga kali).
Bangunlah wahai kamu sekalian yang mengaku umat Nabi Muhammad!!! Tanyalah diri kamu, sejauh mana kamu mengenali Rasulullah yang kamu agung-agungkan? Sejauh mana kamu mengingati dan merindui Baginda Sollallahu A'laihi Wasallam? Sejauh mana kamu menyusuri perjalanan hidup Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasallam? Jangan tunggu kamu ditanya oleh Malaikat Munkar dan Nakir soalan: "من نبيك؟" (Siapakah nabi kamu?). Di alam dunia, semua orang boleh menjawab. Ketahui wahai saudara-saudaraku, jawapan terhadap pertanyaan tersebut adalah mengikut amalan hidup kita diatas muka dunia. Kalau diatas muka dunia kita tidak kenal akan Rasulullah, tidak mengikut memuliakan Rasulullah, tidak mengikuti tuntunan perjalanan hidup Rasulullah dalam erti kata jauuuuhhh dari tuntunan agama yang dibawa oleh Rasulullah, jangan harap kita mampu menjawab: "محمد صلى الله عليه وسلم".
Wallahu A'lam.