Setiap dari manusia sama ada secara rela atau terpaksa, pasti akan melalui dan berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Megapa begitu ya? Jawabnya, kerana ia adalah ketentuan Allah Taa'la.
Di alam roh, alam pertama lagi sebenarnya kita telah membuat satu penyaksian yang besar di sisi Allah Taa'la. Penyaksian yang Allah rakamkan di dalam al-Quran dengan firman-Nya : " Adakah kamu bersaksi bahawa Aku adalah Tuhan kamu? Menjawab ( roh ) : Bahkan, kami bersaksi ( bahawa Kamu adalah Tuhan kami )".
Kemudian kita berpindah ke alam kandungan yang menyaksikan kehebatan Allah sebagai Yang Maha Pencipta. Bermula daripada sititis air mani ( sperma ), perlahan-lahan dan secara berperingkat kita dibentuk sebagai manusia yang dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian. Keajaiban proses embriologi sepatutnya dilihat, disedari dan dirasai dengan penuh keagungan dan keinsafan. Bukan sebagai bahan tontonan atau kajian semata-mata.
Kemudian kita dilahirkan kedalam dunia juga secara rela atau terpaksa. Alam dunia, alam yang penuh dengan ujian dan dugaan, pahit dan manis serta suka dan duka. Sedar atau tidak, alam dunia adalah tempat Allah menguji hamba-hamba-Nya. Justeru itulah, Imam Al-Ghazali mengumpamakan perjalanan hidup di dunia ini seperti sebuah pelayaran di lautan yang luas. Ketika dalam pelayaran, tiba-tiba kelihatan sebuah pulau yang begitu indah. Lalu Nahkoda bahtera meminta semua anak-anak kapal turun ke pulau tersebut dan mencari sebanyak mungkin bekalan yang akan digunakan untuk meneruskan pelayaran menuju ke destinasi yang telah ditentukan.
Ketika masa untuk kembali semula ke bahtera, Nahkoda telah bersedia untuk melihat dan bertanya kepada anak-anak kapalnya, apa dan berapa banyak bekalan yang mampu dikumpulkan? Maka anak-anak kapal tersebut kembali dalam keadaan 3 golongan :
Golongan pertama : Golongan yang turun di pulau tersebut, lalu merasa takjub dan terpesona dengan keindahannya. Mereka leka menikmati keindahan pulau tersebut, sehingga lupa kepada tujuan sebenar mereka. Mereka akhirnya kembali dalam keadaan tidak membawa apa-apa. Mereka adalah golongan yang paling rugi ( celaka ).
Golongan kedua : Golongan yang turut takjub dan terpesona, sempat menikmati keindahan pulau tersebut. Tetapi sebelum tiba waktu untuk kembali ke bahtera, mereka tiba-tiba tersedar. Tersedar dengan tujuan asal mereka. Lalu mereka kembali membawa bekalan yang teramat sedikit. Mereka juga termasuk dari golongan yang rugi, namun masih dapat memanfaatkan masa-masa terakhir untuk mencari bekalan.
Golongan ketiga : Golongan yang turun di pulau tersebut, melihat keindahan jua, namun sekali-kali mereka tidak takjub dan terpesona. Mereka terus berlumba-lumba mencari sebanyak mungkin bekalan untuk di bawa balik ke bahtera. Mereka kembali dalam keadaan membawa bekalan yang banyak. Merekalah dari kalangan golongan yang beruntung.
Firman Allah Taa'la yang bermaksud :" Dan tidaklah Kami menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Kami".
Ibadah memberi makna berbakti atau berkhidmat. Jelas, tujuan kita dijadikan adalah untuk beribadah kepada Allah Taa'la dalam erti kata mengabdikan diri kepada-Nya. Seringkali kita salah memahami konsep ibadah. Seolah-olah ibadah hanya merujuk kepada solat,puasa,haji,zakat dan laian-lain. Bukankah Islam itu " the way of life " ? Ibadah umum merujuk kepada tanggungjawab atau tugas dalam apa pun bidang yang kita ceburi. Baik dalam sektor pendidikan, perniagaan, industri, pentadbiran mahu pun politik. Semua akan dikira sebagai ibadah, andai saja niat kita ikhlas dan kaedah kita bertepatan dengan syara'.
Allah memberi nikmat yang tidak terhitung selama 24 jam tanpa berhenti. Justeru itu, menjadi kewajiban bukan suatu pilihan untuk kita sentiasa berada dalam keadaan beribadah. Orang yang hanya memperuntukkan sedikit masa untuk Allah, tidak ubah seperti kebanyakan manusia yang hanya memberikan tulang atau kepala ikan sahaja kepada kucing. Bukankah kucing juga adalah makhluq Allah yang dikurniakan Allah dengan naluri sepertimana manusia?
Aneh ya...mengapa terjadi begitu? Jawabnya, kerana kita tidak kembali kepada asas penyaksian kita dengan Allah ketika di alam roh. Ya, penyaksian itu tidak berakhir di sana, tetapi setiap hari kita mengulanginya kembali. Cuma kita yang tidak sedar, justeru bagaimana mampu untuk dirasai jika kita tidak menyedarinya?
Firman Allah Taa'la yang bermaksud : " Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan Sekalian Alam."
Seterusnya kita bersaksi sekali lagi, ketika tahiyat awal mahupun akhir di dalam solat. Lafaz dua kalimah syahadah tersebut mengingatkan kita, selesai salam yang menandakan berakhirnya solat kita, namun penyaksian tersebut berkekalan sehingga solat seterusnya dan akan terus berkekalan sehinggalah berada di hadapan Allah Taa'la di akhirat kelak.
Tetapi sebelum itu, terlebih dahulu kita di perdengarkan kalimah penyaksian tersebut seawal kita di lahirkan, ketika si ayah melaungkan seruan azan dan iqamat di telinga. Seruan yang mengandungi penyaksian, justeru untuk mengingatkan kita tentang penyaksian pertama di alam roh. Besar ertinya penyaksian ini. Terlalu besar untuk di sedari dan di rasai.
Kita ungkapkan penyaksian ini tiap-tiap kali solat, tetapi aneh ya...kita tidak menyedarinya. Pertama Allah meyebut solat, kerana solat adalah tiang agama. Nabi s.a.w ketika menghadapi sakaratul maut, sempat berwasiat kepada para sahabat agar jangan sekali-kali meninggalkan solat berualang-ulang kali. Kemudian Allah menyebut ibadah, ibadah merangkumi ibadah khusus dan umum dalam ruang lingkup yang lebih luas sama ada fardhu ai'n, sunat atau kifayah. Hidupku, memberi makna seluruh aktiviti hidup dan Allah mengakhiri dengan MATI, peringatan kepada kita bahawa mati itu memberi makna kembali. Kembali kepada siapa? Kepada Allah untuk dihisab tentang sejauh mana amalan kita bertepatan dengan penyaksian kita.
Ingat, Allah itu Maha Adil. Maha Adilnya Allah Taa'la, Allah sekali-kali tidak menghukum manusia berdasarkan sifat-Nya yang Maha Mengetahui.
Firman Allah Taa'la yang bermaksud : " Dan bagi Allah ( kepunyaan ) sekalian apa yang ada di langgit dan dibumi, Dia mengetahui apa-apa yang kamu rahsiakan, mengetahui apa-apa yang kamu zahirkan dan Allah Maha Mengetahui setiap perbuatan yang kamu lakukan."
Allah menjelaskan dan wajib kita meyakini bahawa Allah itu bersifat Maha Mengetahui. Namun Maha Adilnya Allah, Allah tidak menghukum manusia atas sifatnya yang Maha Mengetahui. Tetapi Allah mendatangkan saksi-saksi terlebih dahulu. Saksi dari kitab catatan amal, para malaikat bahkan anggota tubuh badan kita akan menjadi saksi terhadap segala perbuatan kita di atas muka dunia.
Sabda Nabi s.a.w : " Sesungguhnya dunia itu manis dan indah, dan sesungguhnya Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah didalamnya, maka Allah melihat segala apa yang kamu lakukan ( diawasi )".
Ketahui, fahami dan sedari kembali penyaksian kita..Insya Allah kita akan dapat merasai betapa penyaksian itu akan mengubah matlamat dan perjalanan hidup kita.